Tony Blair tidak layak teraju usaha damai Palestin-Israel - Penganalisis

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang dilantik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak layak menerajui usaha damai Palestin-Israel.
Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Phar Kim Beng berkata, Blair mempunyai rekod sebagai dalang utama yang mendorong AS mencetuskan Perang Iraq pada tahun 2003.
"Individu yang dicalonkan itu langsung tidak serasi dengan aspirasi orang Arab dan dunia. Tony Blair ada latar belakang yang buruk.
“Malah, beliau dikenali sebagai penjenayah perang berdasarkan sumber WikiLeaks yang dibocorkan oleh Julian Assange, yang mendedahkan Blair sebagai dalang utama (Perang Iraq).
“Ini kerana beliau banyak menulis kepada bekas Presiden AS, George Bush. Maksudnya, London atau Blair yang menggalakkan AS untuk memulakan perang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berpandangan bahawa banyak pihak mengambil sikap berhati-hati untuk menerima sepenuhnya pelan damai AS itu.
"Banyak pihak yang berhati-hati dengan cadangan yang dikemukakan oleh Trump. Kita juga tahu individu yang dicadangkan untuk menjadi orang tengah bagi memastikan perancangan ini direalisasikan ialah Tony Blair.
“Blair ada sejarah yang cukup buruk kerana dia terlibat langsung dalam serangan ke atas Iraq. Semua tahu penglibatan langsung Blair ini.
"Sudah tentu apabila individu seperti ini diketengahkan oleh Trump, maka pihak yang ada kepentingan di Asia Barat akan ambil sikap lebih berhati-hati, memandangkan individu itu tidak layak jadi orang penting untuk pastikan pelan perdamaian dapat direalisasikan,” ujarnya.
Pada Selasa, Trump mengumumkan Blair bakal menganggotai badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk memantau proses peralihan Gaza di bawah pelan tajaan Washington bagi menamatkan perang yang hampir dua tahun.
Blair dinamakan sebagai anggota pertama Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang dipengerusikan sendiri oleh Trump. Badan itu akan diberi mandat untuk mengurus pentadbiran sementara Gaza sebaik sahaja pertempuran dihentikan. - Awani
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair, dianggap tidak layak menerajui usaha damai Palestin-Israel oleh Presiden AS, Donald Trump
- Blair dikritik kerana peranannya sebagai dalang utama Perang Iraq pada tahun 2003
- Disebut sebagai penjenayah perang dalam sumber WikiLeaks yang dibocorkan oleh Julian Assange
- Banyak pihak berhati-hati menerima pelan damai AS yang dicadangkan Trump dengan Blair sebagai orang tengah
- Trump mengumumkan Blair sebagai anggota pertama Lembaga Keamanan untuk mengurus pentadbiran sementara Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
