[VIDEO] Wanita mengamuk tampar, cederakan pekerja restoran guna garfu didenda RM11,800

IPOH - Seorang wanita yang tular mengamuk di sebuah restoran minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan termasuk mencederakan dua individu dan melakukan khianat.
Tertuduh, Nurfarahanim Soaid, 29, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan dan Majistret Anis Hanini Abdullah.
Bagi pertuduhan pertama, Nurfarahanim didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muniasamy Rathinavel Nadar yang merupakan pekerja restoran menggunakan senjata berbahaya iaitu garpu di Restoran SK Naina, Taman Tasek Damai di sini kira-kira jam 6.26 pagi pada 28 Januari lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan tiga keping cermin penghadang makanan milik restoran sama sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Nurfarahanim didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohamed Hussain Mubarakall yang juga pekerja restoran terbabit dengan cara menampar dan menumbuk mangsa di lokasi dan masa sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Selepas pengakuan dibuat, peguam Robert S Gnanarajan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon mahkamah memberikan hukuman paling minimum memandangkan tertuduh merupakan ibu tunggal yang menghidap bipolar serta memiliki kad orang kurang upaya sejak tahun 2008 selain mempunyai anak seramai tiga orang.
Pihak pendakwaan bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan alasan perbuatan tertuduh serius kerana mendatangkan kecederaan serta kerugian kepada pemilik restoran berkenaan selain memberi pengajaran kepada orang awam.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaallini dan Amal Aziemah Kohar.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda keseluruhan RM11,800 atau penjara selama 30 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Media pada 28 Januari lalu melaporkan polis menahan seorang wanita selepas disyaki mengamuk sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan pekerja di sebuah restoran di Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai di sini awal pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian 6.31 pagi itu pihaknya menerima laporan daripada pemilik restoran seorang lelaki berusia 38 tahun, yang mengadu berhubung insiden berkenaan.
Ringkasan AI
- Seorang wanita mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk mencederakan dua pekerja restoran dan melakukan khianat
- Nurfarahanim Soaid, 29, didakwa menggunakan senjata berbahaya dan memecahkan cermin restoran
- Dia didakwa mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan/atau denda
- Peguam memohon hukuman minimum kerana tertuduh menghidap bipolar dan merupakan ibu tunggal dengan tiga anak
- Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM11,800 atau 30 bulan penjara jika gagal membayar denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

