Trump tentukan tarikh akhir Hamas terima pelan damai Gaza

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menentukan sendiri tempoh akhir untuk Hamas menerima cadangan yang disokong Israel bagi menghentikan pertempuran di Gaza, menurut White House pada Khamis.
Trump sebelum ini berkata beliau memberi Hamas tempoh tiga hingga empat hari untuk menerima dokumen 20 perkara yang menggariskan syarat pelucutan senjata kumpulan itu sesuatu yang pernah ditolak Hamas sebelum ini.
Sumber rapat kumpulan pejuang Palestin itu memaklumkan, Hamas kini sedang meneliti cadangan tersebut.
Ditanya dalam satu temu bual di Fox News mengenai titik akhir yang menandakan Hamas “menolak” pelan itu, jurucakap White House, Karoline Leavitt, menjawab:
“Ia adalah garisan merah yang perlu ditentukan oleh Presiden Amerika Syarikat. Saya yakin beliau akan melakukannya. Presiden dan pasukannya telah berusaha keras menghasilkan pelan 20 perkara yang komprehensif dan terperinci.”
Leavitt menambah: “Ini adalah pelan yang munasabah dan kami berharap serta menjangkakan Hamas menerimanya supaya kita boleh bergerak ke hadapan.”
Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas serta pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.
Sebahagian besar daripada 20 perkara itu turut pernah dimasukkan dalam beberapa cadangan gencatan senjata sepanjang dua tahun lalu – ada yang diterima dan kemudian ditolak oleh Israel mahupun Hamas pada peringkat berbeza. - Agensi/Awani
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menentukan tempoh akhir untuk Hamas menerima cadangan gencatan senjata yang disokong Israel
- Trump memberi Hamas tiga hingga empat hari untuk menerima dokumen 20 perkara yang menggariskan syarat pelucutan senjata
- Hamas sedang meneliti cadangan tersebut
- Cadangan itu adalah pelan 20 perkara yang komprehensif dan terperinci termasuk gencatan senjata segera dan pelucutan senjata Hamas
- Sebahagian besar daripada 20 perkara itu turut pernah dimasukkan dalam beberapa cadangan gencatan senjata sepanjang dua tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
