Pelan damai Trump hanya sandiwara

Askar Zionis melancarkan pesawat tanpa pemandu mini, Elbit Skylark untuk melakukan peninjauan.
Askar Zionis melancarkan pesawat tanpa pemandu mini, Elbit Skylark untuk melakukan peninjauan.
A
A
A

GENTING GAZA - Pelan damai dihebahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bukanlah satu khabar gembira buat penduduk Palestin.

Ramai yang melihatnya sebagai sandiwara yang kononnya mahu menamatkan perang genosid di Genting Gaza sedangkan ia adalah cubaan untuk merampas wilayah tersebut dengan cara halus.

Segelintir masih mengharapkan keajaiban untuk menamatkan kesengsaraan yang berlarutan selama hampir 24 bulan.

Bagi penjaja di bandar Khan Yunis di selatan Gaza, Anas Sorour, 31, yang kini bersesak di 'zon selamat' ciptaan Israel di al-Mawasi, dia tetap meletakkan harapan terhadap inisiatif itu.

"Saya masih berharap ada sinar baharu buat kami yang sudah kehilangan segala-galanya akibat peperangan ini. Tiada perang yang berlarutan selama-lamanya. Saya yakin, nasib kami mungkin akan berubah dengan izin ALLAH," katanya.

Kumpulan penduduk Palestin membawa pulang bungkusan bantuan yang diagihkan di Koridor Netzarim, Nuseirat di tengah Gaza.
Kumpulan penduduk Palestin membawa pulang bungkusan bantuan yang diagihkan di Koridor Netzarim, Nuseirat di tengah Gaza.

Berbeza pula dengan pendapat Najwa Muslim, 29, yang tidak lagi mengharapkan apa-apa.

"Saya sudah hilang kepercayaan. Jika memang ada niat sebenar untuk hentikan perang, mereka (AS dan Israel) tidak akan menangguhkan perkara tersebut. Oleh itu, saya langsung tidak percaya dengan kata-kata mereka," ujarnya yang berpindah secara paksa dari Bandar Gaza ke tengah wilayah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman Trump tidak mengubah situasi keganasan di Gaza berikutan hampir 50 lagi terkorban akibat hujan bom semakin sengit di seluruh wilayah berkenaan pada Selasa.

Ketika komuniti antarabangsa menyambut baik 'pelan damai muslihat Trump' itu, pegawai kanan gerakan Fattah, Abbas Zaki dengan lantang memberi respons yang berbeza.

'Bandar khemah' di Khan Yunis, selatan Gaza semakin sesak dengan ketibaan penduduk dari kawasan tengah wilayah itu.
'Bandar khemah' di Khan Yunis, selatan Gaza semakin sesak dengan ketibaan penduduk dari kawasan tengah wilayah itu.

"Ia sebenarnya 'dokumen menyerah kalah' yang dikenakan ke atas penduduk Palestin tanpa kerelaan mereka. Tindakan untuk akur dengan cadangan tersebut seakan-akan membenarkan pendudukan Israel dan memecah-belahkan Palestin," tegasnya sambil menambah Washington cuba untuk menghapuskan perjuangan penduduk Palestin.

Tarikh akhir untuk Hamas

Trump memberi tempoh selama tiga hingga empat hari kepada Hamas untuk menerima pelan damai berat sebelah itu.

Beliau turut mengugut gerakan itu jika mereka menolak cadangan tersebut yang sedang diteliti Hamas sebelum memberi sebarang respons.

Trump dengan bangga menyatakan pemimpin Arab sudah pun memberi lampu hijau kepada draf 20 perkara tersebut meskipun ia jelas mengandungi helah untuk merampas Gaza.

Sementara itu, sumber rapat Hamas menegaskan pelan damai itu telah menetapkan 'syarat mengarut' bertujuan untuk menghapuskan gerakan berkenaan.

"Sebahagian besar elemen itu telah pun dimasukkan dalam draf gencatan senjata yang beberapa kali ditolak sebelum ini.

"Apa yang dicadangkan Trump sebenarnya meliputi kesemua syarat dikemukakan Israel yang secara terang-terangan menafikan hak sah penduduk Palestin," ujar sumber itu lagi.

Hamas dijangka menerima tekanan yang besar memandangkan inisiatif itu menerima sokongan penuh Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Mesir. - Agensi

Ringkasan AI

  • Pelan damai yang dihebahkan oleh Presiden AS, Donald Trump tidak dilihat sebagai berita baik oleh penduduk Palestin
  • Ramai penduduk Palestin melihatnya sebagai usaha halus AS untuk merampas wilayah Gaza
  • Walaupun ada yang masih berharap inisiatif ini akan membawa perubahan, sebahagian besar kehilangan kepercayaan
  • Pengumuman Trump tidak menghentikan keganasan di Gaza, hampir 50 orang terkorban akibat hujan bom
  • Pelan damai itu dikritik sebagai 'dokumen menyerah kalah' yang membenarkan pendudukan Israel dan memecah-belahkan Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!