Terdapat laporan cubaan intimidasi ke atas kapal misi Global Sumud Flotilla - SNCC

SEPANG - Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan terdapat laporan cubaan intimidasi daripada kapal tentera dipercayai milik rejim Israel ke atas dua kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu Alma dan Sirius.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ia dilaporkan turut menganggu sistem komunikasi di atas kapal termasuk siaran litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, terdapat juga aktiviti dengan anggaran 10 dron terbang dalam formasi mencurigakan mengelilingi ruang flotilla yang telah memasuki Zon Kuning terakhir pada 4.20 pagi waktu Malaysia.
Bagaimanapun katanya, tiada pintasan fizikal berlaku dan seluruh delegasi berada dalam keadaan selamat serta kekal berjaga-jaga.
"Flotilla dijangka memasuki Zon Merah 3 (100 batu nautika dari Gaza), bermula pada jam 9 malam waktu Malaysia hari ini. Siaran langsung CCTV dari atas kapal telah mula disiarkan di laman rasmi www.sumudnusantara.com untuk disaksikan masyarakat dunia sebagai rakaman bukti sekiranya berlaku sebarang insiden.
"Semua kapal pemerhati tidak akan memasuki Zon Merah mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Ini termasuk kapal Shireen (Tunisia) dan Summertime-Jong (Itali)," katanya ketika sidang media berhubung perkembangan delegasi Misi GSF di MAPIM Central Warehouse, Bandar Serenia di sini pada Rabu.
Tambah Sani Araby, Sumud Nusantara telah melaksanakan proses penstrukturan peranan pada 28 September lalu susulan kondisi empat buah kapal flotilla yang mengalami kerosakan teruk dan tidak berupaya meneruskan pelayaran.
Ujarnya, penstrukturan peranan itu melibatkan tujuh orang delegasi Malaysia dan satu delegasi Brunei.
"Dua orang dihantar ke Amman Jordan untuk membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad.
"Jumlah terkini delegasi Malaysia yang belayar ke Gaza adalah seramai 23 orang. Enam diterbangkan pulang dari Greece untuk menyambung tugas di SNCC iaitu, Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Mohd Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan Rezahmaisalamah Md Yusof (Brunei)," katanya.
Dalam pada itu, SNCC menyeru agar rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik untuk terus menyokong serta mendoakan agar misi flotilla berkenaan.
"Doakan agar dipelihara juga dimudahkan ALLAH kerana mereka membawa suara kemanusiaan negara dan dunia untuk menghentikan perang serta kebuluran," katanya.
Ringkasan AI
- SNCC mengesahkan laporan intimidasi kapal tentera dipercayai Israel terhadap dua kapal misi GSF Alma dan Sirius
- Cubaan gangguan termasuk sistem komunikasi dan siaran CCTV di kapal
- Aktiviti mencurigakan termasuk 10 dron terbang dalam formasi sekitar flotilla
- Tiada pintasan fizikal dan delegasi dalam keadaan selamat
- Flotilla dijangka memasuki Zon Merah, siaran langsung CCTV disediakan sebagai bukti insiden
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

