Konvoi Global Sumud Flotilla belayar tenang, tetapi berjaga-jaga - ZRA

SHAH ALAM - Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) kini belayar dalam keadaan tenang dan berjaga-jaga menuju ke Gaza.
Sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA berkata, semua peserta dalam keadaan selamat.
"Kami terus belayar...video ini saya rakam dan terus siarkan pada 9.28 pagi waktu Mediteranean jam 2.28 petang waktu Malaysia.
"Ada ancaman pada 3.28 pagi (jam 8.28 pagi waktu tempatan) namun semua 45 bot layar Global Sumud Flotilla memilih meneruskan pelayaran ke Gaza.
"Sekarang sekitar 120 batu nautika jarak ke pantai, kami belayar dalam mod tenang dan berjaga-jaga," katanya menerusi hantaran Facebook pada Rabu.
Beliau berharap semua pihak akan terus mendoakan Gaza dan pasukan konvoi demi menjayakan misi flotila ke-38 itu.
"Selama 17 tahun misi flotila berjuang ke perairan memasuki Gaza inilah konvoi terbesar dalam sejarah dengan 45 bot layar serta 450 pencinta Gaza.
"Mengapa? Kerana sejak sekian lama Gaza sentiasa berada di hati kita semua," katanya.
Sebelum ini, menerusi perkongsian personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee memaklumkan beberapa dron mula kelihatan berlegar-legar di sekeliling ruang udara kapal yang dinaikinya awal pagi Rabu.
Katanya, terdapat peningkatan aktiviti dron di sekitar kapal, namun keadaan di atas dek masih terkawal dan tenang.
Farah turut berkongsi pada jam 3 pagi waktu tempatan, dia dikejutkan oleh pasukannya untuk bersedia dan memakai jaket keselamatan.
Ringkasan AI
- Konvoi Global Sumud Flotilla kini belayar ke Gaza dalam keadaan tenang dan berjaga-jaga
- Peserta dalam keadaan selamat dan bot layar meneruskan perjalanan
- Ancaman ditemui namun 45 bot layar meneruskan pelayaran
- Jarak ke pantai kini adalah sekitar 120 batu nautika
- Konvoi ini merupakan yang terbesar dalam sejarah dengan 45 bot layar dan 450 pencinta Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
