Kapal misi GSF dijangka masuk zon merah 9 malam ini - Fahmi

PUTRAJAYA - Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang belayar di perairan antarabangsa dijangka memasuki zon merah R3, iaitu kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, pada jam 9 malam ini (waktu Malaysia), kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, laporan Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan bahawa flotilla tersebut, yang kini berada di zon kuning, turut berdepan situasi tegang pada jam 8.45 pagi tadi (waktu Malaysia) apabila dihampiri kapal yang dipercayai milik rejim Zionis Israel.
“Bot-bot dalam GSF dijangka memasuki zon merah dalam tempoh beberapa jam dari sekarang, dan keberadaan kapal yang diyakini milik rejim Zionis Israel ini membimbangkan,” katanya dalam sidang media mingguan di sini, hari ini.
Fahmi turut memaklumkan bahawa sekitar 10 unit dron dikesan berlegar di kawasan berkenaan, namun setakat ini belum berlaku sebarang pintasan fizikal, dan delegasi flotilla kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan persediaan penuh.
Beliau berkata, sekiranya bot-bot mereka dipintas atau terputus hubungan, beberapa langkah telah disusun dan akan diaktifkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pergerakan peserta GSF secara langsung menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipasang di atas kapal-kapal kini mula dipancarkan untuk tontonan dunia sekiranya berlaku sebarang insiden.
“Kita doakan misi GSF ini berjaya dan para peserta sentiasa dalam keadaan selamat. Kita perlu terus membantu membina naratif bagi menyokong perdamaian di Gaza serta memastikan usaha GSF ini mencapai kejayaan,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa selain dua kumpulan GSF yang telah berada di zon kuning, terdapat kumpulan ketiga membabitkan pasukan dari Malaysia yang kini dalam perjalanan dan dijangka berlepas dari Greece menuju ke Gaza dalam masa terdekat.
“Dengan gelombang ketiga untuk GSF, jumlah peserta rakyat Malaysia akan meningkat. Justeru, untuk keluarga mereka di tanah air, bantuan akan disediakan dan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, kerajaan akan segera menyalurkan bantuan sewajarnya,” katanya.
Fahmi berkata, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melawat SNCC dan memaklumkan bahawa beberapa bentuk bantuan telah disusun termasuk untuk keluarga 34 peserta yang berada di tanah air.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia terhadap kerangka perdamaian terbaharu yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat berhubung Gaza, Fahmi memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengeluarkan kenyataan rasmi.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang merupakan sebahagian daripada aktivis dari 45 negara yang belayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap wilayah itu.
Flotilla berkenaan sebelum ini berdepan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi berkenaan menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza. - Bernama
Ringkasan AI
- Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon merah R3 dekat Gaza pada jam 9 malam waktu Malaysia
- Flotilla tersebut telah berdepan situasi tegang dengan kapal yang dipercayai milik rejim Zionis Israel dan diasak oleh dron
- Sekiranya terputus hubungan atau dipintas, langkah telah disusun untuk mengaktifkan prosedur yang ditetapkan
- Pergerakan peserta GSF dipantau secara langsung melalui kamera litar tertutup yang dipasang di kapal
- Malaysia menyokong misi ini dengan 34 rakyatnya menyertai flotilla sebagai sebahagian daripada aktivis dari 45 negara untuk memecahkan kepungan terhadap Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
