Peningkatan aktiviti dron, konvoi Global Sumud Flotilla berjaga-jaga

SHAH ALAM - Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini berada dalam keadaan penuh berjaga-jaga selepas menerima laporan peningkatan aktiviti dron di ruang udara laluan misi.
Menurut hantaran di Facebook Sumud Nusantara Official, situasi berkenaan menandakan cabaran yang semakin getir sedang dihadapi para peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
"Kemas kini rasmi 1 Oktober, 9.30 pagi waktu Malaysia. Kapal flotila telah memasuki zon berisiko tinggi iaitu kawasan di mana flotila terdahulu pernah diserang atau dipintas," katanya.
Ujarnya, beberapa laporan awal juga mengesahkan wujudnya kemungkinan senario yang berbeza bakal berlaku dalam tempoh beberapa jam akan datang.
"Perkembangan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi.
"Mereka berlayar dengan keberanian, kita iringi dengan doa dan solidariti. No More Silence. No More Siege," katanya.
Media pada Selasa melaporkan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menjangkakan misi Global Sumud Flotilla akan memasuki zon merah dalam masa 28 jam iaitu pada Rabu jam 7 petang waktu Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, zon merah akan dipecahkan kepada tiga zon iaitu zon satu, dua dan tiga yang dikategorikan sebagai kawasan kritikal.
Katanya, ini kerana pada bila-bila masa mereka boleh dipintas.
GSF disertai lebih 34 rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa dari pelbagai negara membawa bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan yang bertujuan menembusi sekatan laut Israel dan menghantar bantuan terus ke Gaza.
Ringkasan AI
- Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza kini berada dalam keadaan penuh berjaga-jaga setelah menerima laporan peningkatan aktiviti dron
- Situasi mendapati cabaran yang semakin getir bagi para peserta misi
- Kapal flotila telah memasuki zon berisiko tinggi di mana flotila terdahulu pernah diserang atau dipintas
- Zon merah dipecahkan kepada tiga zon yang merupakan kawasan kritikal dan berisiko tinggi terhadap serangan atau pintasan
- GSF disertai lebih 34 rakyat Malaysia dan aktivis antarabangsa dari pelbagai negara dengan tujuan menghantar bantuan termasuk makanan dan ubat-ubatan ke Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
