Halusinasi punca pukul anak saudara guna tukul

Kenderaan polis yang membawa mayat suspek dari Pantai Melawi ke hospital. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Kenderaan polis yang membawa mayat suspek dari Pantai Melawi ke hospital. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK – Suspek yang dipercayai memukul anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan tukul besi sehingga parah di kepala dalam kejadian di Jelawat pada Khamis disahkan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah serta mengalami halusinasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, penganggur berusia 46 tahun itu bagaimanapun ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi di sini pada jam 8.30 malam hari sama.

“Suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, polis turut menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga isteri suspek utama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mohd Azrie berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, kanak-kanak Tahun Satu terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dilaporkan kritikal serta menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Suspek memukul anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan tukul besi sehingga parah di kepala
  • Suspek berusia 46 tahun mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan mengalami halusinasi
  • Suspek ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi
  • Polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun, isteri suspek utama untuk membantu siasatan
  • Mayat suspek dihantar ke HPUSM untuk bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!