Kenal pasti diari, buku dan helaian tulisan Zara Qairina berdepan cabaran - Peguam

KOTA KINABALU - Pasukan peguam mewakili ibu kepada pelajar Tingkatan Satu, arwah Zara Qairina Mahathir, mengakui berdepan cabaran mengenal pasti masa penulisan dokumen kerana kebanyakan tulisan remaja itu tidak disertakan dengan tarikh.
Peguam, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, terdapat dokumen berupa buku yang diserahkan kepada pakar forensik untuk diteliti namun sebahagiannya belum sempat ditender kepada mahkamah serta dianalisis oleh Jabatan Kimia.
"Jadi, kita perlu tambahkan semua dokumen ini supaya ia bersifat serentak dan mempunyai kesinambungan. Dari tulisan ketika Tahun Enam tahun lalu, sehingga tahun ini, sehingga akhir-akhir masa bulan Julai.
"Kita perlukan kesahihan dari setiap gaya tulisan. Itulah antara cabaran yang kita hadapi berdasarkan analisis dari Dr Linthini Gannetion (SD Forensic Document Services) pada minggu lalu sangat ketara dan saya fikir ini akan jadi cabaran kita. Kebanyakan tulisan-tulisan arwah tidak menggunakan tarikh. Cuma tarikh itu ada susun kronologi.
"Jadi, kita pelik. Ada soalan yang kita tanyakan kepada saksi (saksi kedua pemeriksa dokumen) puan Nurul Atiqah Mohd Noh (Jabatan Kimia Malaysia) pun ada satu keratan tulisan atau cebisan dari buku 'Love and Peace' sebelah tahun 2024 dan sebelah tahun 2025.
"Jadi, agak pelik. Kita tidak boleh terus menganggap tarikh itu tepat. Inilah yang paling utama untuk dianalisis mungkin kertas dakwat yang digunakan dan kita susun kronologinya," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Rabu.
Menurutnya, pasukan forensik yang dilantik akan berada di Kota Kinabalu sehingga Jumaat ini, namun mungkin memerlukan masa tambahan bagi menyelesaikan pemeriksaan.
"Sebab salah satu cabaran kami ialah mendapatkan akses kepada dokumen lain yang belum lagi dibawa, termasuk dokumen dan bahan yang telah diambil serta dihantar untuk analisis asid deoksiribonukleik (DNA).
"Syukur kami dapat memohon akses itu bermula esok. Tetapi jika masih tidak mencukupi, kemungkinan kami perlu memohon tempoh tambahan untuk mereka turun semula," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa buku milik Zara yang diambil untuk analisis berjumlah 240 muka surat, namun hanya 15 keping yang ditender sebagai bahan bukti.
"Jumlah keseluruhan buku itu 240 muka surat, tetapi hanya 15 keping ditender. Jadi, kita kena lihat berapa yang masih ada dan berapa yang tiada. Itu kira-kira mudah sahaja.
"Setakat ini, buku milik Zahra yang telah ditender kita tahu ada tiga iaitu W1, W2, W3, selain 15 cebisan kertas yang ditandakan Y1 hingga Y15. Jadi, jumlah keseluruhannya lebih kurang 27 item yang diambil dari pejabat tuan Hamid.
"Jadi ini perlu diasingkan mana dokumen dan mana yang bukan," katanya.
Mohd Syahrulnizam berkata, antara dokumen lain yang dipercayai penting juga ialah buku catatan solat yang dipercayai ditulis Allahyarhamah Zara Qairina.
"Salah satu lagi dokumen yang kami harap dapat maklumat ialah buku catatan solat Zara, yang dia tulis siapa yang tidak solat. Itu pun dalam rampasan tersebut, tidak ada analisis penulisan cuma DNA.
"Jadi, kami berharap dapat akses supaya pakar dokumen kami boleh membuat pengesahan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pasukan forensik turut menggunakan pelbagai kaedah teknikal bagi memastikan ketepatan analisis.
"Kaedah dakwat juga digunakan dalam proses ini. Selain itu, mereka menggunakan peralatan khas seperti sinar UV, inframerah, ultraviolet, Maestar dan electrostatic.
"Peralatan ini boleh mengesan sama ada tulisan pernah dipadam atau tidak. Mereka juga mempunyai peralatan untuk mengesan kesan cap jari pada dokumen, tetapi ia memerlukan proses pengendalian yang sangat ketat. Jika terlalu banyak tangan sudah memegang dokumen itu, ia agak sukar dikesan," katanya.
Beliau menegaskan, kaedah pengendalian bukti dokumen perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan kerugian dari segi nilai siasatan.
"Kalau ada kes-kes sebegini, aspek pengendalian dokumen sangat penting. Bukti yang kritikal sebegini mesti dikendalikan dengan baik supaya nilai siasatan tidak hilang," tegasnya.
Mohd Syarulnizam berkata, pasukan forensik terdiri daripada empat pakar tersebut mempunyai kepakaran masing-masing.
"Minggu ini kita ada tiga pakar. Puan Tay (Pemeriksa Dokumen Forensik Bebas, Tay Eue Kam) adalah pakar pengendalian, Pensyarah dan Penyelidik Kanan Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Dzulkiflee Ismail serta Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa sebagai pakar siasatan. Mereka memberi fokus kepada aspek yang berbeza.
"Kami juga menyediakan beberapa salinan untuk mereka uji, termasuk melakukan ujian koyakan pada kertas. Dari situ kita boleh lihat jelas atau tidak, mudah atau sukar. Hasilnya akan menambah soalan yang kami ajukan kepada saksi-saksi lain,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pakar berkenaan akan bertemu dengan ibu Zara Qairina, Mohd Syarulnizam menegaskan mereka hanya menumpukan kepada aspek profesional.
"Setakat ini tidak, kerana mereka adalah pakar dalam bidang sains forensik. Kami tidak mahu mereka berhubung secara langsung dengan ibu arwah. Tugas mereka hanyalah menganalisis dokumen yang kami sediakan.
"Jadi, kami mahu kekal profesional, dan harapan kami adalah memperoleh maklumat yang lebih tepat," katanya.
Sebelum itu, pemeriksaan dokumen adalah melibatkan tulisan tangan dalam tiga diari, sebuah buku dan 15 helaian kertas milik Allahyarhamah Zara Qairina.
Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser mewakili Noraidah Lamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Ringkasan AI
- Pasukan peguam menghadapi cabaran mengenal pasti masa penulisan dokumen kerana kebanyakan tulisan tidak disertakan dengan tarikh
- Dokumen tersebut termasuk buku yang diserahkan kepada pakar forensik untuk dianalisis
- Pasukan forensik menggunakan pelbagai kaedah teknikal termasuk dakwat, sinar UV, dan pengesanan cap jari untuk memastikan ketepatan analisis
- Buku milik Zara Qairina yang diambil untuk analisis berjumlah 240 muka surat, namun hanya 15 keping yang ditender sebagai bahan bukti
- Pasukan forensik terdiri daripada empat pakar yang mempunyai kepakaran masing-masing dalam bidang sains forensik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
