PDRM nafi Malaysia jadi pusat operasi Hamas, jamin keselamatan terkawal - KPN

KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan kononnya kepimpinan Hamas menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi, sebaliknya menegaskan tahap keselamatan negara sentiasa terjamin hasil kerjasama rapat bersama agensi penguat kuasa serta negara jiran.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin amat dekat di hati rakyat Malaysia.
“Berdasarkan kedudukan kita sebagai sebuah negara Islam, perjuangan di Palestin sememangnya dekat di hati rakyat Malaysia.
“Atas sebab itu, kita sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Palestin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Rabu.
Bagaimanapun, Mohd Khalid menegaskan agensi keselamatan tempatan tetap berwaspada agar semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.
“Alhamdulillah, polis ada kerjasama baik dengan semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Kita sentiasa berhubung, berkongsi maklumat serta mengambil tindakan bersama dalam menangani isu berkaitan,” katanya.
Beliau turut merujuk kejayaan operasi rentas sempadan kebelakangan ini sebagai bukti kesiapsiagaan Malaysia dalam menjaga keselamatan negara.
“Negara jiran juga memberikan kerjasama yang baik serta berkesan. Seperti yang semua maklum, kes tangkapan di Sadao membabitkan penyeludupan senjata api berjaya digagalkan dengan tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa Thailand.
“Kita berkongsi maklumat dengan Thailand untuk mengenal pasti rangkaian mereka dan akan terus bekerjasama dalam perkara sebegini,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan ancaman keganasan, penyeludupan senjata mahupun rangkaian jenayah rentas sempadan.
“Keselamatan negara adalah terkawal, kita akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan serantau bagi memastikan tiada kumpulan yang menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bekas penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, mendakwa Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.
Dalam satu hantaran di platform X, Jonathan turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak berminat dengan perdamaian.
Kritikan tersebut muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan manakala Tebing Barat dirampas.
Ringkasan AI
- Polis menafikan Malaysia sebagai pusat operasi kepimpinan Hamas dan menjamin tahap keselamatan negara terjaga
- Rakyat Malaysia amat menyokong perjuangan rakyat Palestin
- Keselamatan tempatan berwaspada agar sokongan terhadap Palestin tidak dieksploitasi untuk tujuan menyalahi undang-undang
- Malaysia memiliki kerjasama baik dengan agensi kerajaan dan negara jiran dalam menjaga keselamatan
- Pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam isu ancaman keganasan dan menjaga keselamatan negara terkawal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

