Malaysia bukan pusat operasi Hamas

SHAH ALAM - Malaysia bukan pusat operasi Hamas seperti dakwaan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, sebaliknya kehadiran rakyat Palestin di negara ini hanyalah untuk belajar, bekerja dan bermastautin sejak sekian lama.
Pakar geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kenyataan itu keterlaluan dan tidak berasas kerana ia cuba mengaitkan sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin dengan kegiatan militan.
“Kenyataan bahawa Malaysia telah menjadi pusat operasi Hamas itu adalah berlebihan walaupun dia bekas penganalisis di Jabatan Perbendaharaan AS.
“Hakikatnya, rakyat Palestin yang berada di sini, belajar, bermastautin, bekerja dari dulu lagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Azmi berpandangan, persepsi itu timbul disebabkan Malaysia adalah antara negara paling lantang mendesak negara-negara Arab mengambil tindakan nyata termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel.
Tambahnya, kenyataan Schanzer seolah-olah mengikut naratif Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menganggap setiap rakyat Palestin termasuk bayi baru lahir sebagai musuh kerana didakwa menyokong Hamas.
Beliau menegaskan, Schanzer sebagai penganalisis berpengalaman sepatutnya dapat membezakan antara operasi Hamas dan rakyat Palestin yang tinggal di Malaysia.
Azmi turut mengingatkan bahawa tuduhan keterlaluan terhadap Malaysia bukan perkara baharu, malah tokoh akademik antarabangsa, Bruce Gilley ketika hadir di Universiti Malaya (UM) pada tahun lalu pernah menuduh kerajaan Malaysia menyokong Holocaust kedua kerana menyokong perjuangan Palestin.
“Tidak kira mereka yang berkepakaran ataupun penuh pengalaman, mereka dipercayai berat sebelah terhadap Israel dalam hal berkaitan Palestin,” ujarnya lagi.
Dalam insiden pada April tahun lalu, UM turut mengecam kenyataan Gilley yang dimuat naik sendiri oleh profesor sains politik itu dalam laman X, sambil menyifatkan kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab dan melampau sehingga mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.
UM memaklumkan akan terus mendukung pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah.
Menyentuh dakwaan Malaysia tidak berminat dengan perdamaian, Azmi menolak tohmahan itu dengan menegaskan pendirian Malaysia sentiasa jelas iaitu mahukan perdamaian yang lebih adil, sekali gus menyokong penyelesaian dua negara.
Beliau berkata, pendirian itu bakal ditegaskan semula pada Sidang Kemuncak PBB hari ini, yang dijangka menyerlahkan sokongan dunia terhadap Palestin, manakala Amerika Syarikat dan Israel akan dilihat keseorangan kerana tidak mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.
Sementara itu, Penolong Profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM), Dr Ahmad El Muhammady Muhammad Uthman menegaskan, Malaysia tidak pernah membenarkan negara ini dijadikan pusat operasi Hamas ataupun mana-mana kumpulan keganasan.
“Hantaran Schanzer tidak tepat kerana rakyat Palestin yang datang dan tinggal di Malaysia bukanlah kerana mahu menjadikan negara ini sebagai pusat operasi mereka,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa Malaysia tidak membenarkan perkara itu berlaku kerana ia bertentangan dengan prinsip negara yang menolak segala bentuk keganasan.
“Polisi kita jelas, jika ada kegiatan berkaitan keganasan atau persenjataan, individu terbabit akan ditahan di bawah undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Keganasan (POTA),” katanya.
Jelasnya, rakyat Palestin yang berada di Malaysia adalah untuk tujuan sah seperti melanjutkan pengajian, mendapat perlindungan melalui status pelarian serta ada juga yang datang untuk urusan perniagaan.
Tegas Ahmad, dakwaan yang menyatakan Malaysia dijadikan pangkalan operasi Hamas adalah tidak tepat dan hanya bertujuan memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Malaysia konsisten menolak sebarang aktiviti yang menjadikan negara ini sebagai pusat operasi keganasan,” menurut beliau lagi.
Ringkasan AI
- Malaysia bukan pusat operasi Hamas, kehadiran rakyat Palestin untuk belajar, bekerja dan bermastautin
- Kenyataan bekas penganalisis AS itu keterlaluan dan tidak berasas
- Azmi Hassan menyatakan sokongan Malaysia kepada Palestin tidak harus dikaitkan dengan militan
- Rakyat Palestin di Malaysia adalah untuk tujuan sah seperti pendidikan dan perlindungan pelarian
- Malaysia menolak segala bentuk keganasan, undang-undang seperti SOSMA dan POTA digunakan untuk menangani kegiatan berkaitan keganasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

