Letupan, dron tidak halang misi Global Sumud Flotilla ke Gaza

SHAH ALAM - Letupan, dron dan gangguan komunikasi tidak akan menghalang Global Sumud Flotilla (GSF) meneruskan misi untuk menyampaikan bantuan ke Gaza dan memecahkan kepungan haram.
Menurut kenyataan rasmi GSF pada Rabu, mereka menyaksikan ancaman tersebut secara langsung dan menegaskan tidak akan gentar.
“Letupan, dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi. Kami menyaksikan operasi psikologi ini secara langsung sekarang, tetapi kami tidak akan gentar.
“Sejauh mana Israel dan sekutunya akan pergi untuk memanjangkan kengerian kelaparan dan genosid di Gaza adalah memuakkan. Tetapi azam kami lebih kuat daripada sebelum ini. Setiap percubaan untuk menakut-nakutkan kami hanya menguatkan komitmen kami.
“Kami tidak akan diam. Kami akan terus belayar,” katanya.
Sebelum ini, kapal Alma yang dinaiki sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF dilaporkan didatangi 15 buah dron.
Perkara itu dimaklumkan salah seorang sukarelawan, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, yang juga pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), menerusi hantaran di Facebook pada pagi Rabu.
Sementara itu, dua peserta misi GSF menerusi sebuah video di TikTok (Just Palestinian Girl) turut memaklumkan bahawa kapal-kapal bantuan kemanusiaan yang sedang belayar menuju Gaza diserang semula, mewujudkan suasana kecemasan di tengah laut antarabangsa.
Menurut Yasmin Ajar, yang juga anggota Komitmen Stereng GSF, serangan tersebut melibatkan letupan dan pembuangan bom ke arah beberapa kapal dalam konvoi.
“Kami baru dengar serangan lain sekarang. Kami tahu ada lima kapal yang telah diserang oleh bom. Anda boleh dengar dengan jelas. Kembali lagi, bom yang lain telah dikeluarkan.
“Kami tidak tahu kapal yang mana pada saat ini. Beri amaran. Kami berada di laut antarabangsa. Hanya membawa bantuan kemanusiaan. Kami tidak bersenjata. Kami tidak menimbulkan ancaman terhadap sesiapa,” katanya.
Yasmin turut mengecam tindakan-tindakan yang dilihatnya sebagai sebahagian daripada kempen lebih luas yang membawa kepada penderitaan rakyat Palestin.
Ujarnya, tindakan itu menyumbang kepada apa yang digambarkannya sebagai genosid dan menyeru negara-negara penyokong untuk bertanggungjawab atas sokongan politik, kewangan dan ketenteraan yang diberikan kepada pihak yang disalahkan.
“Ia adalah Israel yang telah membunuh beribu-ribu orang. Ia adalah Israel yang telah memusnahkan komuniti. Ia adalah negara-negara kita yang membolehkannya, mendukungnya secara kewangan, politik dan dengan senjata. Ini perlu dihentikan. Ini adalah genosid. Negara-negara ini perlu bertindak sekarang.
“Jika seseorang cedera pada flotilla ini, ini merupakan satu lagi jenayah perang, menambah kepada senarai jenayah perang yang panjang di Israel. Buatlah sesuatu. Lakukan sesuatu terhadap kerajaan yang berdiam dan membenarkan orang Palestin dibunuh setiap hari,” katanya.
Seorang lagi peserta pula berpesan agar masyarakat antarabangsa, khususnya kerajaan-kerajaan Eropah dan Amerika, bertindak menurut kuasa mereka untuk menghentikan apa yang digambarkan sebagai pembunuhan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Jika anda begitu rasistik dan bersikap acuh tidak acuh, anda tidak akan melakukan apa-apa untuk orang Palestin — tolonglah buat sesuatu,” katanya menerusi video yang sama.
Ringkasan AI
- Letupan, dron, dan gangguan komunikasi tidak menghalang misi Global Sumud Flotilla menyampaikan bantuan ke Gaza
- Global Sumud Flotilla menyaksikan ancaman secara langsung dan menegaskan tidak akan gentar
- Kapal Alma yang membawa sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan dilaporkan didatangi 15 buah dron
- Serangan terhadap kapal-kapal bantuan mengakibatkan kecemasan di tengah laut antarabangsa, melibatkan letupan dan pembuangan bom
- Seruan kepada masyarakat antarabangsa dan pemerintah untuk menghentikan pembunuhan dan penindasan terhadap rakyat Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

