Misi kemanusiaan Gaza: 11 hari penuh pelajaran

Zainal menyifatkan penyertaan anaknya Ilham Fansuri (kiri) dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla sebagai pengalaman penuh pelajaran dan nilai disiplin.
Zainal menyifatkan penyertaan anaknya Ilham Fansuri (kiri) dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla sebagai pengalaman penuh pelajaran dan nilai disiplin.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan kru visual muda, Ilham Fansuri dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bersama bapanya, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA Strim, disifatkan sebagai satu pengalaman berharga yang sarat dengan nilai disiplin dan pembelajaran.

Menurut Zainal, anaknya mula menyertai misi kemanusiaan sejak November 2023 di Jordan, sebelum menyusul ke Lubnan pada April dan Ogos 2024.

"Dia sempat menempuh pengalaman pengeboman sonik di Beirut, kali ini Ilham bersama saya sebagai kru dan pelayar flotila.

"Selain menyiapkan rakaman dan strim langsung sebagai wakil Sumud Nusantara Malaysia, kami juga melakukan kerja-kerja dek seperti mencuci, mengemas dapur dan membasuh pinggan mangkuk," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.

Zainal berkata, disiplin dan kerja berpasukan amat dititikberatkan sepanjang pelayaran bersama 11 kru flotila termasuk enam pelayar Itali, seorang Sweden dan seorang Australia.

Katanya, aktivis Itali dikenali sebagai Suh banyak membantu Ilham mengendalikan pelayaran serta memahami arah angin, struktur bot, enjin dan gear.

“Suh yang sudah lebih 10 tahun menyokong perjuangan rakyat Palestin pernah menghiburkan kanak-kanak pelarian di Tebing Barat sebagai badut. Kehadirannya dalam flotila kali ini memberi bimbingan besar buat Ilham,” jelasnya.

Ujarnya, pelayaran selama 11 hari di Laut Mediterranean itu amat bermakna dan memberi ruang anaknya menimba pengalaman berharga dalam usaha kemanusiaan ke Gaza.

“Hari ini sudah hari kelima pelayaran. Insya-ALLAH, lima hari lagi kami akan sampai ke Gaza. Terima kasih kepada rakan-rakan Itali, Sweden dan Australia yang menerima kami dengan baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sukarelawan Malaysia, ZRA Strim, menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla bersama anaknya Ilham Fansuri
  • Ilham bertugas sebagai kru visual dan mula menimba pengalaman sejak November 2023
  • Ilham sempat mengalami pengeboman sonik di Beirut dan bertugas melakukan kerja-kerja dek selama pelayaran
  • Disiplin dan kerja berpasukan amat dititikberatkan sepanjang pelayaran bersama kru dari pelbagai negara
  • Aktivis Itali, Suh, membantu Ilham dalam mengendalikan pelayaran dan memahami arah angin, bot, enjin, dan gear

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!