Polis tumpaskan cubaan bawa masuk fentanyl hampir satu tan ke Malaysia

SHAH ALAM – Cubaan membawa masuk dadah jenis fentanyl dari negara Timur seberat hampir satu tan dipatahkan menerusi siri operasi serta serbuan polis di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka pada 19 Ogos lalu.
Dadah sintetik berbahaya itu dipercayai dibawa masuk sindiket antarabangsa menerusi Pelabuhan Klang untuk pasaran negara jiran serta tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan besar itu dilakukan menerusi Op Black Ash yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, polis menahan dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 31 tahun.
"Fentanyl seberat 961.8 kilogram dengan nilai pasaran RM30.7 juta ini adalah cubaan pertama yang berjaya dipatahkan di Malaysia.
"Dadah ini sangat berbahaya, lebih 100 kali ganda kuat berbanding morfin dan heroin. Berdasarkan semakan, di Amerika Syarikat dan Kanada, fentanyl menjadi punca utama kematian akibat pengambilan berlebihan," katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi penghantaran kargo melalui Pelabuhan Klang dengan membuat deklarasi palsu sebelum dadah itu dipecahkan kepada dua konsainan untuk dihantar kepada kumpulan berbeza.
"Siasatan mendapati fentanyl ini diproses dalam bentuk cecair dan serbuk sebelum dijual dalam pasaran.
"Serbuk daripada dadah ini dijadikan pil manakala cecair pula digunakan sebagai campuran untuk rokok elektronik (vape)," katanya.
Jelasnya, selain Op Black Ash, pihaknya turut melaksanakan lima lagi operasi khas iaitu Op Black Wood, Op Ceylon, Op Blackbutt, Op Black Birch dan Op Cengal sepanjang Ogos hingga September lalu.
"Menerusi Op Black Wood pada 23 Ogos di Selangor, polis menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga asing, selain merampas pelbagai jenis dadah seberat 75.09 kilogram bernilai RM2.7 juta.
"Sementara itu, Op Ceylon pada 7 September di Lembah Klang dan Muar, Johor pula membawa kepada penahanan tujuh individu serta rampasan 132.862 kilogram dadah bernilai RM3.3 juta," katanya.
Tambahnya, pada 9 September, Op Blackbutt di Selangor menyaksikan tiga lelaki tempatan ditahan bersama 202.59 kilogram methamphetamine bernilai RM6.76 juta.
"Sehari kemudian, Op Black Birch di Sungai Besi, Kuala Lumpur berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas 103.33 kilogram methamphetamine bernilai RM3.32 juta.
"Dalam Op Cengal pada 12 September di Lembah Klang, polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan dengan rampasan 230.67 kilogram methamphetamine bernilai RM7.4 juta," katanya.
Hussein berkata, secara keseluruhan enam operasi khas itu melibatkan penahanan 24 individu berusia antara 19 hingga 55 tahun.
"Kesemua suspek terdiri daripada 17 lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, empat wanita warga asing dan seorang wanita tempatan.
"Jumlah rampasan keseluruhan adalah 1,706.35 kilogram pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran dianggarkan RM54.18 juta," katanya.
Ujar Hussein, kejayaan itu hasil risikan berbulan-bulan termasuk kerjasama dengan agensi luar negara.
"Sindiket ini ada yang baru aktif dua bulan, ada juga yang sudah beroperasi hampir 10 bulan.
"Kejayaan operasi ini membongkar rangkaian penyeludupan dan pengedaran hasil kerjasama antarabangsa serta maklumat daripada orang awam,” jelasnya.
Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah.
"JSJN komited memerangi dadah demi melindungi keselamatan rakyat dan generasi akan datang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menyalurkannya melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.
Ringkasan AI
- Cubaan membawa masuk fentanyl seberat hampir satu tan dari negara Timur dipatahkan polis di Negeri Sembilan dan Melaka
- Dadah berkenaan disyaki masuk menerusi Pelabuhan Klang untuk pasaran dalam dan luar negara
- Dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi
- Fentanyl ini sangat berbahaya, lebih kuat dari morfin dan heroin
- Serbuan membawa kepada penahanan 24 individu dan rampasan dadah bernilai RM54.18 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

