Bunyi letupan 'gegar' Shah Alam

Tangkap layar mengenai bunyi letupan misteri sekitar Shah Alam pada Selasa.
Tangkap layar mengenai bunyi letupan misteri sekitar Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk di sini digemparkan dengan bunyi letupan kuat dan pelik yang kedengaran secara tiba-tiba lewat malam Selasa.

Seorang pemilik akaun Facebook, Amir Ndok, memaklumkan dia terdengar bunyi kuat pada jam 11.31 malam.

"Dengar bunyi letupan macam meriam, ada apa (yang berlaku)?" katanya menerusi satu hantaran di dalam sebuah kumpulan Facebook.

Hantaran dimuat naik Amir itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mendakwa turut mendengar bunyi sama di beberapa kawasan berbeza.

Antara kawasan yang disebut termasuklah di Denai Alam, TTDI Jaya dan keseluruhan kawasan di sini sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai punca sebenar bunyi berkenaan.

Pemilik akaun Facebook Kak Ani meluahkan rasa kecewa dengan misteri bunyi yang belum terjawab hingga kini.

"Sudah sebulan tertanya-tanya (tentang misteri bunyi pelik berkenaan).

"Ramai dalam (Facebook) ini kerja MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan mungkin juga ada yang terlibat dalam kawasan pembinaan Stadium (Shah Alam)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Komen netizen lain, Hidayah Zainuddin pula memaklumkan, bunyi berkenaan turut kedengaran di Seksyen 9.

"Bunyi apa ya sebab dah banyak hari kan? Kalau baca balik respon, besar juga radius kawasan yang dengar,” tulisnya.

Pemilik akaun Facebook, Tarmidzi Mokhtar pula disangka akibat perubahan cuaca.

"Bunyi macam guruh, ingat nak hujan,” katanya ringkas.

Seorang lagi pengguna, Nik Azhan Arif, memberitahu, bunyi pelik itu bukan kali pertama berlaku di kawasan kediamannya.

"Minggu lepas antara 5 hingga 5.30 pagi dua kali, (difahamkan) Seksyen 2 sampai Seksyen 24 dengar (bunyi pelik),” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Azhar Mohd Sharif memaklumkan pihaknya akan meneliti dan menyemak dakwaan berkaitan bunyi misteri seperti yang tular di media sosial.

Menurutnya, pihak MBSA mengambil maklum berhubung aduan penduduk dan akan menjalankan siasatan lanjut.

"Kita akan semak dahulu dan selepas itu akan keluarkan kenyataan rasmi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan bunyi letupan kuat di kawasan sekitar Stadium Shah Alam pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, susulan aduan diterima, pihaknya telah menggerakkan anggota bertugas menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan tempat letak kenderaan sekitar stadium.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!