Subsidi RON95: Kerajaan pantau rekod isian harian, bulanan setiap pengguna

GEORGE TOWN - Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan subsidi petrol RON95 bermula hujung bulan ini akan dipantau secara teliti melalui rekod penggunaan termasuk jumlah isian harian dan bulanan setiap pengguna.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, data tersebut boleh divalidasi bersama syarikat e-hailing dan p-hailing bagi memastikan pemandu yang memohon kuota tambahan benar-benar bekerja dalam bidang berkenaan.
“Dengan sistem sedia ada, kita mempunyai rekod penggunaan termasuk jumlah isian harian dan bulanan.
"Data ini boleh divalidasi bersama syarikat e-hailing dan p-hailing untuk memastikan mereka benar-benar bekerja dalam bidang tersebut,” katanya ketika sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di Menara Hasil Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Beliau berkata, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia dengan bukan warganegara perlu membayar pada harga RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.
Bagaimanapun jelas Anwar, bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan beberapa mekanisme tambahan termasuk tidak membenarkan pengisian terlalu kerap dalam sehari.
"Kita ada beberapa mekanisme yang akan perkenalkan.
"Perincian lanjut akan diumumkan sebelum pelaksanaan bermula antara 27 hingga 30 September ini," ujarnya.
Sebelum ini, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi peringatan bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar melalui BUDI95 masih terdedah kepada risiko ketirisan baharu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, walaupun kerajaan menetapkan kuota 300 liter sebulan bagi setiap pemegang lesen memandu sah, ruang untuk penyelewengan tetap wujud sekiranya kawalan tidak diperketatkan.
Beliau juga memberi contoh dengan mereka yang diberikan kemudahan mendapatkan petrol bersubsidi tanpa had seperti pemandu e-hailing juga terbuka kepada risiko ketirisan baharu.
Ringkasan AI
- Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan subsidi petrol RON95 akan dipantau teliti
- Data penggunaan termasuk jumlah isian harian dan bulanan boleh divalidasi bersama syarikat e-hailing dan p-hailing
- Harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September
- Pemandu e-hailing dikecualikan daripada had kuota dan boleh memohon had lebih tinggi
- Kerajaan akan memperkenalkan mekanisme tambahan untuk mengelak pengisian terlalu kerap dalam sehari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

