BUDI95: Langkah tepat ringankan kos sara hidup, kawal perbelanjaan negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Ujar beliau, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.
Pengumuman ini hadir dalam suasana rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar akibat peningkatan harga barangan, kos sewaan dan perkhidmatan harian.
Penjimatan ini pastinya memberi impak besar khususnya kepada pengguna yang melakukan perjalanan jauh setiap hari seperti pekerja gig dan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian untuk bekerja.
Dari sudut ekonomi, pendekatan subsidi bersasar ini memberi dua manfaat utama. Pertama, ia mengurangkan beban kewangan rakyat, sekali gus membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah.
Kedua, ia mengawal perbelanjaan fiskal kerajaan daripada terus meningkat akibat subsidi pukal yang tidak seimbang.
Selain itu, Kementerian Kewangan (MOF) turut memaklumkan bahawa BUDI95 hanya dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah sahaja.
Tegas kementerian itu, sekiranya warga tempatan tetapi tidak memiliki lesen sah, individu berkenaan tidak layak menikmati kadar subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Dengan menekankan syarat kelayakan seperti had umur minimum 16 tahun serta pemilikan lesen memandu sah, kerajaan cuba memastikan bantuan hanya diberikan kepada golongan yang benar-benar menggunakan petrol secara sah dan berhak.
Namun, pelaksanaan ini juga mungkin menimbulkan perdebatan kerana ada kelompok warga tempatan yang tidak memiliki lesen memandu tetapi tetap menggunakan kenderaan untuk keperluan harian.
Kesimpulannya, inisiatif menurunkan harga RON95 melalui mekanisme subsidi bersasar merupakan langkah tepat dalam keadaan ekonomi semasa.
Walau bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan sistem yang dibangunkan benar-benar berfungsi dengan lancar dan telus agar manfaat yang dijanjikan dapat dirasai oleh rakyat sasaran tanpa menimbulkan masalah baharu di kemudian hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

