BUDI95 tanda keprihatinan kepada rakyat termasuk golongan M40, T20

SHAH ALAM – Program Budi Madani RON95 (BUDI95) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan rakyat, termasuk golongan M40 dan T20 yang selama ini sering kali terpinggir daripada sistem bantuan bersasar.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pelaksanaan subsidi petrol secara inklusif seperti itu bukan sahaja mencerminkan keadilan sosial malah merupakan satu bentuk penghargaan terhadap usaha kolektif semua warga Malaysia.
“Saya menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri berkenaan pelaksanaan program BUDI95 yang akan menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua tanpa mengira status ekonomi adalah penyumbang kepada pembangunan negara. Golongan M40 dan T20 turut membayar cukai, mewujudkan peluang pekerjaan serta memacu ekonomi negara melalui pelbagai sektor,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan bahawa semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang akan berkuat kuasa 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara adil kepada pengguna yang layak serta mengelakkan ketirisan.
Jimmy yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berkata, seperti bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off yang bersifat menyeluruh, BUDI95 turut memberikan rasa dihargai kepada semua pihak.
Menurutnya, syarat bahawa hanya individu yang mempunyai lesen memandu sah layak menerima subsidi tersebut merupakan langkah berhemah dan tepat.
“Ia menunjukkan bahawa kerajaan serius mahu mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan sistem serta memastikan hanya pengguna sebenar yang menikmati manfaat ini.
“Rakyat juga perlu faham bahawa subsidi bersasar bukan bermakna semua akan diberi secara seragam, tetapi hanya kepada mereka yang benar-benar layak dari segi penggunaan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter yang ditetapkan ketika ini, Jimmy percaya ia merupakan fasa percubaan.
Katanya, pada masa akan datang kerajaan perlu menilai semula siling kelayakan itu secara fleksibel berdasarkan jenis kenderaan dan corak penggunaan sebenar.
“Misalnya, motosikal jelas tidak setara dengan kereta dari segi keperluan petrol. Oleh itu, saya mencadangkan agar satu garis panduan yang terperinci dan adil disediakan dengan siling kelayakan yang berbeza mengikut kategori pengguna.
“Sekiranya sesuai, siling kelayakan ini boleh ditingkatkan kepada 350 liter atau lebih pada masa hadapan, mengikut keperluan semasa,” syornya.
Susulan itu, beliau menyeru agar rakyat bersabar dan berdisiplin dalam menyambut pelaksanaan sistem berkenaan pada 30 September depan.
“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, kita tidak mahu berlaku kesesakan atau panik membeli minyak di stesen-stesen petrol.
“Saya juga berharap kerajaan, terutamanya agensi pelaksana seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dapat memastikan sistem digital MyKad, integrasi subsidi dan pengesahan identiti berjalan lancar pada hari pelaksanaan nanti,” tambah beliau.
Jimmy menegaskan bahawa program BUDI95 adalah refleksi kepada semangat Madani yang menyeluruh, adil, berasaskan data dan berteraskan kepercayaan rakyat.
Beliau turut yakin bahawa dengan pelaksanaan yang teratur serta komunikasi yang jelas, BUDI95 mampu menjadi model subsidi pintar yang bukan sahaja membantu rakyat, malah mengukuhkan kedudukan fiskal negara dalam jangka masa panjang.
Ringkasan AI
- Program Budi Madani RON95 (BUDI95) adalah inisiatif kerajaan Malaysia yang mencerminkan keprihatinan terhadap semua lapisan rakyat termasuk golongan M40 dan T20
- Pelaksanaan program BUDI95 akan menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025
- Semua rakyat Malaysia berhak menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95
- Hanya individu yang mempunyai lesen memandu sah layak menerima subsidi ini, sebagai langkah untuk mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan sistem
- Program BUDI95 dirancang sebagai model subsidi pintar yang akan membantu rakyat dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara untuk jangka masa panjang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

