Felda mohon lanjutan 30 tahun operasi kilang gula MSM Prai

BUTTERWORTH - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memohon agar tempoh pajakan tanah kilang memproses gula, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM Prai) di sini dilanjutkan sehingga 30 tahun lagi bagi menjamin keterjaminan makanan negara khususnya bekalan gula.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kedudukan strategik kilang itu yang berhampiran pelabuhan dan landasan kereta api terbukti penting kepada operasi industri gula negara dari 1964 sehingga kini.
Menurutnya, sebarang usaha menutup kilang itu bukan sahaja memberi kesan besar terhadap bekalan gula dalam negara, malah turut melibatkan kos pembangunan semula yang amat tinggi.
"Kita sedang berunding dengan kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) agar kilang ini dapat terus beroperasi di sini.
"Kalau nak buat kilang baharu seperti di Perai ini, kosnya boleh mencecah RM4 bilion. Untuk menambah kapasiti di kilang Johor pula, anggaran perbelanjaan lebih RM1 bilion.

"Sudah tentu ia memberi kesan besar kepada syarikat dan juga ekonomi negara,” katanya pada sidang akhbar ketika membuat lawatan di kilang terbabit pada Rabu
Ahmad Shabery berkata, isu itu juga telah dibincangkan secara ringkas bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang difahamkan mempunyai hasrat melakukan pembangunan semula kawasan di berkenaan.
Beliau berkata, perbincangan lanjut diperlukan bagi mencari keseimbangan antara keperluan pembangunan negeri dengan kepentingan negara dalam menjamin bekalan gula.
"Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dalam pertemuan semalam. Saya faham beliau ada hasrat berkaitan pembangunan kawasan ini namun ia mestilah diseimbangkan dengan keperluan keterjaminan makanan negara.
"Felda menghargai hasrat pembangunan yang ada, tetapi kita memohon pertimbangan agar tempoh penggunaan tanah dilanjutkan,"katanya lagi.
MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) merupakan anak syarikat Felda Global Ventures Holdings (FGV), yang juga pengeluar gula bertapis terbesar di Malaysia.
Pada masa ini, MSM hanya mempunyai dua kilang utama iaitu di Perai dan Johor.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, menutup kilang itu tanpa persediaan akan memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian industri makanan dan minuman yang bergantung kepada gula.
"Kalau kita kata meniaga, kalau tak mampu, boleh tutup. Tapi penutupan MSN Perai ini akan memberi kesan menyeluruh kepada negara, bukan sekadar syarikat.
"Ini soal keterjaminan makanan. Bekalan gula adalah komoditi asas yang perlu dijaga kestabilannya,” tegasnya.
Ringkasan AI
- Felda memohon lanjutan pajakan tanah kilang MSM Malaysia Holdings Berhad di Butterworth selama 30 tahun untuk jamin keterjaminan bekalan gula
- Kilang MSM Prai penting untuk industri gula negara sejak 1964 kerana lokasinya yang strategik berhampiran pelabuhan dan landasan kereta api
- Menutup kilang akan memberi kesan besar terhadap bekalan gula dan melibatkan kos pembangunan semula yang tinggi
- Perbincangan bersama kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Aset Keretapi dilakukan untuk memastikan operasi kilang dapat berterusan
- Menutup kilang tanpa persediaan akan mengganggu rantaian industri makanan dan minuman yang bergantung kepada bekalan gula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

