[VIDEO] Anggota JPJ didenda RM10,000 terima suapan RM1,400
MELAKA – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menerima suapan RM1,400 daripada seorang pengurus syarikat logistik.
Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 38, membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pilihan tersebut, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Negeri Melaka telah menerima suatu benda berharga iaitu wang berjumlah RM1,400 tanpa sebarang balasan daripada seorang pengurus syarikat logistik yang mana tertuduh mengetahui syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukan di Bank Simpanan Nasional Cawangan Batu Berendam, Taman Mutiara Melaka pada 6 Februari dan 3 Jun 2020.
Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, selain mengambil kira kepentingan awam.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum bagi kesemua pertuduhan kerana tertuduh telah digantung tugas dan terpaksa melakukan dua kerja sambilan untuk menyara persekolahan anak-anaknya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau lima bulan penjara jika gagal membayar.
Ringkasan AI
- Anggota JPJ didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menerima suapan RM1,400
- Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan
- Seksyen 165 Kanun Keseksaan membolehkan hukuman penjara atau denda
- Timbalan Pendakwa Raya SPRM memohon hukuman sebagai pengajaran
- Pegawai tersebut terpaksa melakukan dua kerja sambilan untuk menyara keluarganya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

