Bekas pembantu operasi didenda RM10,000, kes rasuah projek RM484,580

MELAKA - Bekas pembantu operasi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas kesalahan menerima rasuah RM5,000 sebagai upah perakuan siap kerja pembaikan di institusi pengajian tinggi itu bernilai RM484,580.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Mohd Rizuan Muhamad, 42, sebaik pertuduhan pilihan kedua dan ketiga dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, dia sebagai seorang penjawat awam iaitu Pembantu Operasi N11 yang memangku tugas sebagai Pembantu Kemahiran H19 di Kolej Matrikulasi Melaka ketika kejadian telah menerima untuk diri sendiri suatu suapan iaitu wang berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun sebagai dorongan memperakui perakuan siap kerja bagi kerja pembaikan jenang dan tingkap di institusi berkenaan yang bernilai RM484,580.
Perbuatan itu dilakukan di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga di sini pada 15 Ogos dan 28 September 2022.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam tertuduh, Alif Ahmad Tarmizi merayu hukuman denda yang relevan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau lima bulan penjara jika gagal bayar dan memerintahkan telefon bimbit serta pasport dikembalikan kepada tertuduh.
Ringkasan AI
- Bekas pembantu operasi didenda RM10,000 atas kesalahan menerima rasuah RM5,000
- Kesalahan itu berkaitan dengan perakuan siap kerja pembaikan di institusi pengajian tinggi bernilai RM484,580
- Mohd Rizuan Muhamad, 42, mengaku salah di Mahkamah Sesyen Melaka
- Rasuah diterima dari seorang lelaki berusia 43 tahun sebagai dorongan memperakui kerja pembaikan
- Hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan tersebut di bawah Seksyen 161 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

