Skandal counter setting: SPRM teliti rekod kewangan ahli keluarga, rakan rapat

Azam (dua dari kanan) hadir Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre di Sepang pada Khamis.
Azam (dua dari kanan) hadir Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre di Sepang pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam tindakan meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan rakan rapat individu yang ditahan berhubung skandal 'counter setting' bagi mengesan aliran wang di sebalik sindiket terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan meneliti sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan.

Menurutnya, berhubung siasatan ini pegawai penyiasat bukan sahaja menyiasat kes rasuah dan salah guna kuasa, SPRM juga telah membuka siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Kita juga melihat aset yang disita selain mereka yang terlibat disiasat berhubung harta dan wang tunai selain diberi notis tertentu untuk isytihar harta.

"Sebagai contoh, buka kedai emas dan sebagainya ini akan dipersoalkan bagaimana perolehan wang atau punca wang diperoleh. Siasatan ambil masa lagi kerana ia baru sahaja dimulakan dalam tempoh dua minggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu.

Namun, ujarnya, SPRM tidak tolak kemungkinan ada tangkapan lain.

"Dalam hal ini kita siasat lebih lanjut. Bukan 'money trail' yang panjang kerana ini tidak melibatkan korporat dan sebagainya, tapi mereka dalam siasatan perlu jawab dari mana wang diperoleh.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada kaitan orang bersubahat akan dipanggil dan sebagainya," ujarnya.

Tambahnya, dalam kes sebegini SPRM perlu mendapatkan saksi dari mana perolehan wang berkenaan sehingga menyebabkan mereka boleh miliki kereta mewah, membuka perniagaan dan wang tunai dalam simpanan.

Sebelum ini Azam dilaporkan berkata, pegawai penguat kuasa terbabit menerima bayaran wang rasuah berjumlah RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.

Bayaran wang rasuah itu dibuat secara tunai dan menggunakan akaun keldai.

Secara purata pegawai yang terlibat akan menerima wang rasuah antara RM10,000 sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada warga asing yang dilepaskan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menerusi Op Rentas menahan seramai 30 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa pada Selasa.

Tangkapan dilaksanakan di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Ringkasan AI

  • SPRM menyiasat rekod kewangan ahli keluarga dan rakan rapat individu terlibat dalam skandal 'counter setting'
  • Tindakan ini termasuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram
  • Aset disita dan orang terlibat disiasat berhubung harta dan wang tunai
  • Tiada tangkapan baharu setakat ini namun kemungkinan ada tangkapan lain tidak ditolak
  • Pegawai penguat kuasa terlibat dalam skandal ini dituduh menerima rasuah dari RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang dilepaskan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!