Penguat kuasa dirasuah sindiket counter setting hingga RM50,000 sebulan - SPRM

Antara individu yang ditahan untuk siasatan sindiket counter setting. Gambar kecil: Azam
Antara individu yang ditahan untuk siasatan sindiket counter setting. Gambar kecil: Azam
A
A
A

SHAH ALAM - Purata tawaran rasuah sindiket counter setting kepada penguat kuasa untuk 'melepaskan' warga asing masuk secara tidak sah ke dalam negara dipercayai hingga mencecah RM50,000.

Difahamkan, wang sumber haram itu bergantung kepada warga asing yang dilepaskan melalui pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai penguat kuasa terbabit menerima bayaran wang rasuah berjumlah RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.

Menurutnya, bayaran wang rasuah itu dibuat secara tunai dan menggunakan akaun keldai.

"Secara purata pegawai yang terlibat akan menerima wang rasuah antara RM10,000 sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada warga asing yang dilepaskan.

“Ejen akan memaklumkan maklumat warga asing seperti nombor pasport dan tiket kapal terbang kepada pegawai terbabit sebelum diberitahu kaunter yang perlu dilalui oleh warga negara asing terbabit,” katanya pada Sabtu.

Pegawai penguat kuasa terbabit menerima bayaran wang rasuah berjumlah RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.
Pegawai penguat kuasa terbabit menerima bayaran wang rasuah berjumlah RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.

Beliau berkata, pegawai yang bertugas di kaunter akan memudahkan urusan atau tanpa pemeriksaan terperinci bagi kemasukan warga negara asing yang telah diaturkan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Azam, menerusi operasi yang dijalankan SPRM, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membabitkan ketua pasukan, penyelia dan penjaga kaunter imigresen ditahan.

“Mereka yang ditahan itu bermula dari Gred KP1 hingga KP9 berusia antara 23 hingga 54 tahun,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menerusi Op Rentas menahan seramai 30 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa pada Selasa.

Tangkapan dilaksanakan di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Suspek yang ditahan disyaki terlibat sindiket counter setting di mana mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.

Antara barang kemas yang dirampas SPRM untuk siasatan sindiket counter setting.
Antara barang kemas yang dirampas SPRM untuk siasatan sindiket counter setting.

Susulan operasi itu juga SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi selain turut membekukan 57 akaun bank bernilai lebih RM2.7 juta.

Selain pembekuan kesemua akaun terdiri daripada 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat itu, wang tunai berjumlah lebih RM200,000 turut disita.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Ringkasan AI

  • Purata tawaran rasuah kepada penguat kuasa hingga RM50,000 untuk melepaskan warga asing masuk secara tidak sah
  • Pegawai penguat kuasa menerima RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang dilepaskan
  • Operasi SPRM tangkap pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia
  • Operasi menerusi Op Rentas menahan 30 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa
  • SPRM menyita lebih RM200,000 wang tunai, barangan kemas, emas, dan membekukan 57 akaun bank bernilai lebih RM2.7 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!