Pasangan remaja dicekup berkhalwat, rakam aksi tidak bermoral

MERSING – Pasangan remaja ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat dan menyimpan rakaman tidak bermoral dalam satu operasi pemeriksaan di sebuah hotel di daerah ini, awal pagi Rabu.
Menurut JAINJ, operasi yang dijalankan antara jam 10 malam hingga 3 pagi itu melibatkan pemeriksaan beberapa hotel dan penginapan sekitar Mersing berikutan daerah berkenaan jarang menerima aduan kes maksiat berbanding daerah lain.
“Pada kira-kira jam 2.30 pagi, penguat kuasa mengetuk pintu sebuah bilik hotel sebelum dibuka oleh seorang lelaki. Pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita turut berada di dalam bilik berkenaan dan tiada individu lain ditemui.
“Hasil siasatan awal mendapati pasangan tersebut bukan suami isteri. Lelaki berusia awal 20-an bekerja sambilan, manakala wanita berusia belasan tahun dan belum bekerja. Kedua-duanya menetap di Mersing,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemeriksaan dalam bilik berkenaan menemukan sebuah telefon bimbit yang diletakkan menghala ke arah katil, dipercayai digunakan untuk merakam aksi tidak bermoral.
“Semakan lanjut mendapati terdapat beberapa rakaman lama melibatkan pasangan tersebut yang dipercayai dibuat di hotel sama pada tarikh berasingan.
“Pasangan berkenaan dipercayai telah lama mengenali antara satu sama lain sejak zaman persekolahan dan mengaku sering bertemu secara berdua-duaan di hotel,” ujarnya.
Jelasnya, kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor berkaitan khalwat serta Seksyen 23 berkaitan kesalahan persetubuhan luar nikah.
“Ibu bapa pasangan tersebut telah dipanggil ke pejabat JAINJ bagi proses jaminan sebelum kes dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.
“Pihak JAINJ menegaskan operasi pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bermoral, khususnya yang melibatkan golongan remaja,” katanya.
Ringkasan AI
- Pasangan remaja ditahan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor kerana berkhalwat dan menyimpan rakaman tidak bermoral
- Operasi pemeriksaan dijalankan antara jam 10 malam hingga 3 pagi di beberapa hotel dan penginapan sekitar Mersing
- Pasangan tersebut bukan suami isteri, lelaki bekerja sambilan dan wanita berusia belasan tahun belum bekerja
- Ditemukan telefon bimbit merakam aksi tidak bermoral dan beberapa rakaman lama dibuat di hotel yang sama
- Ibu bapa pasangan dipanggil untuk proses jaminan sebelum kes dirujuk ke Mahkamah Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

