Ibu, anak antara lapan pegawai penguat kuasa ditahan terlibat 'counter setting'

SPRM merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai, barangan kemas dan alat telekomunikasi.
SPRM merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai, barangan kemas dan alat telekomunikasi.
A
A
A

SEREMBAN – Seorang ibu dan anaknya antara lapan pegawai agensi penguat kuasa yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dalam serbuan serentak di empat negeri menerusi Op Rentas yang dilancarkan sejak Selasa lalu.

Menurut kenyataan menerusi akaun rasmi TikTok SPRM, tangkapan itu adalah hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu bagi membanteras kegiatan rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang dipercayai bersubahat dengan sindiket kemasukan warga asing tanpa prosedur sah.

"Dalam serbuan itu, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM80,000 dan barangan kemas bernilai sekitar RM50,000 daripada kedua-dua pegawai terbabit.

"Selain itu, turut dirampas dua kereta bernilai RM106,000, dua motosikal kira-kira RM20,000 serta alat telekomunikasi bernilai RM20,000," katanya pada Selasa.

Antara kenderaan yang dirampas SPRM menerusi serbuan yang dijalankan.
Antara kenderaan yang dirampas SPRM menerusi serbuan yang dijalankan.

Jelas hantaran itu lagi, enam suspek lain yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita turut diberkas menerusi operasi sama.

"SPRM merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai RM12,000, mata wang asing melibatkan AS$5,000 dan 2,360 baht selain turut disita barangan kemas bernilai RM200,000 serta alat telekomunikasi berjumlah RM29,000.

"SPRM juga membekukan akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, kesemua suspek dipercayai bersekongkol dengan sindiket 'counter setting' yang menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing tanpa prosedur sah.

"Kesemua mereka dipercayai terlibat secara langsung dengan sindiket berkenaan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana pembabitan mereka," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang ibu dan anaknya antara lapan pegawai agensi penguat kuasa ditahan SPRM Negeri Sembilan
  • Tangkapan berkenaan sindiket kemasukan warga asing tanpa prosedur sah
  • SPRM menyita wang tunai dan barangan kemas bernilai sekitar RM130,000 ditambah dengan dua kereta, dua motosikal dan alat telekomunikasi
  • Enam suspek lain juga diberkas dengan barangan termasuk wang tunai dan mata wang asing serta barangan kemas dan alat telekomunikasi disita
  • Akaun Tabung Haji dan ASB bernilai kira-kira RM1 juta dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!