Counter setting: SPRM rampas barang kemas RM2.3 juta

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas pelbagai bentuk barang kemas dianggarkan bernilai RM2.3 juta dipercayai hasil wang rasuah yang diterima daripada sindiket counter setting.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati kebanyakan wang rasuah itu digunakan untuk membeli kepingan emas selain barangan kemas seperti rantai emas, gelang emas, anting-anting emas dan cincin emas.
“Jumlah keseluruhan barangan kemas yang dirampas bernilai kira-kira RM2.3 juta.

"Rampasan lain melibatkan tujuh kereta, beg pelbagai jenama, telefon bimbit, satu lot tanah dan lain-lain barangan,” katanya pada Ahad.
Dalam pada itu, Azam berkata, siasatan masih dijalankan berkenaan penahanan suami isteri yang juga pegawai imigresen.
Katanya, buat masa ini tiada maklumat sama ada pegawai penguat kuasa lain yang ditahan membeli barangan kemas daripada pasangan terbabit.
Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan siasatan SPRM mendedahkan bahawa pasangan berkenaan telah menggunakan nama adik wanita tersebut dan anak mereka sendiri sebagai proksi bagi membuka kedai emas itu dengan modal berjumlah kira-kira RM600,000.
Pasangan berusia lingkungan 40-an itu telah direman lima hari sehingga 14 September di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah.
Serbuan SPRM di kedai barangan kemas di Pahang itu mendapati simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai semasa kira-kira RM1.4 juta.
Suspek berkenaan terlibat dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja asing tanpa permit.
Proses tersebut memerlukan majikan menghantar fail-fail pekerja warga asing berkenaan untuk dibuat semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.
Ringkasan AI
- SHAH ALAM - SPRM merampas barang kemas bernilai RM2.3 juta hasil rasuah dari sindiket counter setting
- Barang kemas termasuk kepingan emas, rantai, gelang, anting-anting dan cincin emas
- Rampasan lain termasuk tujuh kereta, beg jenama, telefon bimbit dan satu lot tanah
- Siasatan melibatkan penahanan pasangan suami isteri pegawai imigresen
- Pasangan gunakan nama adik dan anak sebagai proksi, buka kedai emas dengan modal RM600,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
