Counter setting: Lima pegawai miliki barang kemas 3.2kg, 75 kepingan emas

SHAH ALAM - Barangan mewah termasuk barang kemas seberat kira-kira 3.2 kilogram dan 75 kepingan emas dianggarkan bernilai RM2 juta merupakan sitaan daripada enam individu yang disyaki terlibat dengan sindiket 'counter setting', baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hasil daripada penggeledahan menerusi Op Rentas, SPRM Negeri Selangor telah membuat sitaan ke atas pelbagai harta hasil wang rasuah pada 9 dan 11 September lalu.
Menurutnya, lima daripada pemilik barangan itu merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di lapangan terbang.

"Pegawai ini dipercayai menerima wang daripada ejen sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini," katanya pada Ahad.
Beliau berkata, antara barangan lain yang turut disita ialah sebidang tanah lot, sebuah rumah, beberapa kenderaan mewah, pelbagai jenis beg tangan, serta 20 utas jam tangan berjenama bernilai kira-kira RM100,000 selain wang tunai RM20,000.
Tambahnya, SPRM Selangor juga telah membekukan 70 akaun bank menjadikan keseluruhan sitaan berjumlah sekitar RM3.3 juta.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009," ujarnya.
Pelaporan ini turut dikongsikan menerusi akaun media sosial rasmi SPRM di TikTok.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan purata tawaran rasuah sindiket 'counter setting' kepada penguat kuasa untuk 'melepaskan' warga asing masuk secara tidak sah ke dalam negara dipercayai mencecah sehingga RM50,000 sebulan.
Difahamkan, wang haram itu bergantung kepada jumlah warga asing yang dilepaskan melalui pintu masuk negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pegawai penguat kuasa terbabit menerima bayaran wang rasuah antara RM1,800 hingga RM2,500 bagi setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.
Menurutnya, bayaran rasuah itu dibuat secara tunai dan melalui akaun keldai.
Secara purata, pegawai yang terlibat menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah warga asing yang dilepaskan.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menerusi Op Rentas menahan seramai 30 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa pada 9 September.
Tangkapan dilaksanakan di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Ringkasan AI
- Barangan mewah bernilai RM2 juta disita daripada sindiket 'counter setting'
- Lima daripada pemilik barangan itu merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia
- Pegawai dipercayai menerima wang rasuah untuk memudahkan kemasukan warga asing
- SPRM Selangor membekukan 70 akaun bank menjadikan keseluruhan sitaan berjumlah sekitar RM3.3 juta
- Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
