Tatakelola, integriti DBKL perlu dipulihkan segera - SPRM

Maimunah (kiri) memegang dokumen Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatangani bersama Mohamad Zakkuan di Menara DBKL, Kuala Lumpur.
Maimunah (kiri) memegang dokumen Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatangani bersama Mohamad Zakkuan di Menara DBKL, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Isu tadbir urus dan integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dipulihkan segera bagi memperbaiki imej serta meningkatkan kembali kepercayaan orang awam.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, pihaknya menyambut baik langkah DBKL yang dilihat serius memperkukuh integriti serta membina tadbir urus lebih telus.

“Sebagai pihak berkuasa tunggal mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, usaha ini amat penting bagi memastikan keyakinan masyarakat sentiasa terjamin.

“Antara inisiatif yang sudah dilaksanakan termasuk memperkenalkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2.0, membangunkan Anti-Bribery Management System (ABMS), menganjurkan program kesedaran integriti bersama kontraktor serta Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) untuk warga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) DBKL bersama SPRM di Menara DBKL pada 28 Ogos lalu.

Majlis itu menyaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, memimpin lafaz IBR bersama kira-kira 30 pegawai pengurusan tertinggi DBKL dengan disaksikan SPRM.

Dalam ucapannya, Maimunah menegaskan pelaksanaan IBR bukan sekadar simbolik, sebaliknya bukti nyata komitmen bersama membina organisasi yang bersih dan bebas rasuah.

“IBR bukan hanya lafaz semata-mata, tetapi janji moral dan spiritual kepada diri sendiri, organisasi warga kota serta negara.

“Sejak hari pertama saya dilantik sebagai Datuk Bandar, integriti menjadi keutamaan kerana ia bukan tanggungjawab SPRM atau ketua jabatan sahaja, sebaliknya dipikul setiap warga DBKL,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pendekatan itu juga selari dengan amanat Perdana Menteri menerusi kerangka Ekonomi Madani yang menekankan nilai manusiawi, rahmah dan keadilan, selain sasaran Malaysia mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

Media pada 26 Ogos lalu melaporkan tiga individu iaitu seorang pegawai kanan DBKL, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam direman empat hari kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah sejak 11 tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam amalan rasuah sejak 2014, dengan pemilik syarikat berkenaan disyaki membayar rasuah kepada pegawai pihak berkuasa tempatan terbabit sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi itu.

SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua kenderaan jenis Lexus RX500h serta Mini Cooper, selain beg tangan dan kasut berjenama Hermès serta Louis Vuitton.

Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta turut dibekukan.

Ringkasan AI

  • Isu tadbir urus dan integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu dipulihkan untuk meningkatkan kepercayaan orang awam
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyokong usaha DBKL mengukuhkan integriti dan tadbir urus yang lebih telus
  • Inisiatif yang dilaksanakan termasuk Pelan Antirasuah Organisasi, Anti-Bribery Management System dan program kesedaran integriti
  • Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pegawai pengurusan tertinggi DBKL
  • Tiga individu termasuk pegawai kanan DBKL direman atas kegiatan rasuah, dengan RM150,000 tunai dan beberapa aset dibekukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!