[VIDEO] SPRM perincikan kes berprofil tinggi Selasa ini

KUALA PILAH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperincikan beberapa kes berprofil tinggi termasuk siasatan melibatkan Ops Sikaro dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar Selasa ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sidang akhbar itu akan turut berkongsi maklumat terkini mengenai kes sambungan projek Lebuhraya Maju Expressway (MEX II), Sapura Energy Berhad (SEB) serta beberapa siasatan lain yang masih berjalan.

“Ada beberapa kes yang tertunggak sebelum ini contohnya projek MEX II dan Sapura Energy serta pelbagai lagi.
"Saya akan kemukakan maklumat terkini dalam sidang akbar pada Selasa ini,” katanya pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Kampung Terentang di sini pada Ahad.
Azam menjelaskan, siasatan bagi Ops Sikaro masih diteruskan kerana ia melibatkan transaksi kewangan yang kompleks dan membabitkan ratusan akaun bank.
“Ops Sikaro masih berjalan. Kami sedang meneliti wang hasil aktiviti haram dilakukan.
"Pegawai-pegawai SPRM sedang melakukan analisis kerana terlalu banyak akaun yang terlibat.
"Oleh itu, kami perlukan sedikit masa lagi untuk memastikan siasatan lengkap dan tepat,” jelasnya.
Mengulas mengenai kes melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azam berkata, siasatan terhadap seorang pegawai kanan Gred JUSA B yang dikaitkan dengan pembelian hartanah telah pun selesai.

“Siasatan telah lengkap dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan cadangan pertuduhan di mahkamah.
"Kami berharap pertuduhan dapat dibuat selewat-lewatnya selepas Hari Malaysia atau minggu pertama Oktober,” katanya lagi.
Katanya, SPRM kini mengambil langkah mempercepatkan proses siasatan bagi mengelakkan persepsi bahawa agensi itu melengahkan tindakan terhadap kes rasuah melibatkan individu berprofil tinggi.

“Kita telah mempergiatkan dan mempercepatkan proses siasatan. Banyak kes telah diambil tindakan berbentuk punitif, bukan sahaja didakwa di mahkamah, tetapi turut dikenakan denda serta tindakan dalaman oleh jabatan masing-masing.
"Segala perkembangan mengenai kes-kes ini akan saya rangkumkan dalam sidang media pada Selasa ini," katanya.
Pada majlis itu beliau menyempurnakan perasmian dan penyerahan balai raya Kampung Terentang yang siap pada Julai lalu membabitkan kos RM400,000.
Dalam perkembangan sama, sebuah masjid baharu bernilai RM2.2 juta yang mampu memuatkan 700 kariah dijangka siap hujung tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

