Kes rasuah DBKL: Tiga individu termasuk pegawai kanan disambung reman

Laporan Sinar Harian berhubung kes rasuah pegawai DBKL antara 3 direman empat hari
Laporan Sinar Harian berhubung kes rasuah pegawai DBKL antara 3 direman empat hari
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan Jusa B Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disambung reman sehingga Ahad bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan perolehan projek teknologi maklumat (IT).

Menurut sumber, tempoh reman ketiga-tiga suspek yang tamat pada Jumaat dilanjutkan sehari lagi bagi membolehkan siasatan diteruskan.

“Setakat ini, seramai 10 individu telah dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah ini.

“Reman ke atas ketiga-tiga individu selama empat hari yang tamat semalam dilanjutkan sehingga esok bagi memberi ruang kepada SPRM meneruskan siasatan lanjut,” katanya pada Sabtu.

Pada Rabu lalu, media melaporkan siasatan SPRM kini turut menjurus kepada urusan pembelian hartanah membabitkan seorang pegawai kanan DBKL yang direman selama empat hari pada 26 Ogos lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata, individu berkenaan merupakan pegawai gred Jusa B yang memegang jawatan tertinggi di bawah Pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Pegawai terbabit adalah antara pengarah kanan di bawah pentadbiran Datuk Bandar. Sebahagian siasatan SPRM kini melibatkan pembelian hartanah, termasuk sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya.

Pada 26 Ogos lalu, media melaporkan tiga individu iaitu seorang pegawai kanan DBKL, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam direman empat hari kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah sejak 11 tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam amalan rasuah sejak 2014, dengan pemilik syarikat berkenaan dipercayai membayar rasuah kepada pegawai PBT terbabit sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi itu.

Artikel Berkaitan:

SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua kenderaan jenis Lexus RX500h serta Mini Cooper, selain beg tangan dan kasut berjenama Hermès serta Louis Vuitton.

Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta turut dibekukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!