Penahanan pegawai kanan DBKL: Siasatan SPRM menjurus pembelian aset hartanah

SHAH ALAM - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjurus kepada urusan pembelian hartanah melibatkan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan bagi siasatan kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu berkenaan merupakan pegawai gred Jusa B yang menduduki jawatan tertinggi di bawah Pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Pegawai terbabit antara pengarah kanan di bawah pejabat berkenaan.
“Sebahagian siasatan SPRM kini melibatkan pembelian hartanah, khususnya sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah Azam, SPRM sedang menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan.
Pada Isnin, SPRM menahan tiga individu melibatkan seorang pegawai kanan gred Jusa B, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam kerana disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014.
Dua suspek melibatkan seorang lelaki pemilik syarikat dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an, masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan, manakala pegawai DBKL berusia 50-an ditahan di pejabatnya.
Sumber memaklumkan, suspek berjawatan pemilik syarikat itu dipercayai telah membayar rasuah kepada pegawai berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek.
Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, selain beg tangan dan kasut berjenama Hermes serta Louis Vuitton.
SPRM juga telah membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat dengan nilai melebihi RM7 juta.
Kesemua individu terbabit kemudian direman empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
