Cubaan seludup 33 PATI guna bot fiber gagal

Sebuah bot yang digunakan untuk penyeludupan PATI disita Maritim Malaysia pada Khamis.
Sebuah bot yang digunakan untuk penyeludupan PATI disita Maritim Malaysia pada Khamis.
A
A
A

TANJUNG KARANG - Pergerakan sebuah bot fiber di perairan Tanjung Karang yang memecut laju selepas diarah berhenti membongkar kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata bot berkenaan dikesan pada jam 11.10 malam hasil risikan serta maklumat awam sebelum pasukan rondaan digerakkan menerusi Op Ehsan, Op Tiris dan Op Patkor Optima Malindo 32/25.

Abdul Muhaimin
Abdul Muhaimin

Menurutnya, pasukan operasi yang mengesan bot terbabit telah mengarahkan ia berhenti.

“Bagaimanapun, bot tanpa nombor pendaftaran yang dipandu tekong warga tempatan itu terus memecut laju sebelum dikejar hampir 10 minit dan berjaya ditahan kira-kira 5.5 batu nautika barat Tanjung Karang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seramai 33 PATI termasuk dua kanak-kanak, terdiri daripada 21 lelaki serta 12 wanita berusia lingkungan 10 hingga 63 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua PATI ditemui dalam keadaan berhimpit di dalam bot tersebut.

Artikel Berkaitan:

Maritim Malaysia menahan 33 PATI yang cuba diseludup keluar melalui jalan laut pada Khamis.
Maritim Malaysia menahan 33 PATI yang cuba diseludup keluar melalui jalan laut pada Khamis.

Tambahnya, kesemua warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Jelasnya, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang juga tekong bot terbabit turut berjaya ditahan.

“Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan caj sekitar RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang PATI, bergantung kepada jarak lokasi perjalanan,” ujarnya.

Tegasnya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

 

Ringkasan AI

  • Bot fiber di Tanjung Karang terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI dikesan dan diarah berhenti tetapi terus memecut laju
  • Pasukan maritim mengejar dan berjaya menahan bot tersebut yang tidak mempunyai nombor pendaftaran
  • Ditemui 33 PATI termasuk dua kanak-kanak, dari usia 10 hingga 63 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah
  • Tekong bot, warga tempatan berusia 27 tahun ditahan
  • Sindiket dikatakan mengenakan caj RM1,500 hingga RM2,500 kepada setiap PATI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!