Pemandu Van Thailand mengaku tidak bersalah langgar gadis hingga maut

Yusof (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra pada Ahad.
Yusof (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra pada Ahad.
A
A
A

JITRA – Seorang pemandu van warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang gadis di Napoh, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Yusof Senkonam, 60, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thai oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri pada Ahad.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa memandu van jenis Toyota Hiace secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal jenis Modenas, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22.

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, Jalan Alor Setar–Bukit Kayu Hitam, di sini, kira-kira pukul 10.30 malam, 15 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Hedzir manakala tertuduh diwakili peguam, Zabedah Ahmad.

Nurul Asyiqin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia.

Bagaimanapun, Zabedah memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum serta memohon pasport dilepaskan sementara kerana tertuduh dijadualkan menunaikan umrah pada 9 Februari.

Menurutnya, tertuduh merupakan seorang guru agama di kampungnya di Satun, Thailand selain memegang jawatan di sana.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, tertuduh turut menyara isteri dan tiga orang anak serta menghidap penyakit kencing manis.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.

Mahkamah turut mengarahkan peguam tertuduh membuat permohonan pelepasan pasport sementara bagi membolehkan tertuduh berangkat ke Tanah Suci.

Tertuduh juga tidak dibenarkan memandu di negara ini sepanjang proses perbicaraan selain diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah van yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Napoh.

Kemalangan itu menyebabkan Fatin Nursyafikah, yang berasal dari Kampung Bukit Beruas di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu van warga Thailand, Yusof Senkonam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu berbahaya menyebabkan kematian
  • Kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Napoh, Jalan Alor Setar–Bukit Kayu Hitam
  • Mangsa, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad berusia 22 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan parah
  • Yusof didakwa di mahkamah dengan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan
  • Mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan Yusof tidak dibenarkan memandu sepanjang proses perbicaraan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!