Gaya hidup mewah anak pemimpin cetus gelombang protes rakyat Nepal

KATHMANDU – Sikap menunjuk gaya hidup mewah anak-anak ahli politik Nepal dipercayai menjadi antara pencetus utama kepada gelombang protes besar-besaran yang kini melanda negara itu.
Sebelum protes ganas berlaku, trend di media sosial dengan tanda pagar #NepoKid menjadi popular dalam kalangan anak muda di Nepal serta rakyatnya di luar negara.
Mereka mendedahkan bagaimana anak-anak pemimpin bermegah dengan kereta mewah, pakaian berjenama antarabangsa, jam tangan mahal, beg tangan eksklusif dan percutian luar negara, sedangkan rakyat bergelut dengan pengangguran serta kemiskinan.
Slogan seperti 'Cukai kami, untuk kemewahan mereka', 'Kami bayar, kamu berlagak' dan 'Ke mana hilangnya duit rakyat?' turut menjadi sohor di media sosial.
Pengarah Urusan syarikat e-hailing Pathao, Asheem Man Singh Basnyat berkata, tindakan rakyat mendedahkan kemewahan itu bukan kerana kebencian, sebaliknya tuntutan akauntabiliti.
“Orang ramai akan bongkar. Gambar dan video di media sosial boleh dijadikan bukti. Ini bukan soal benci, ini soal tanggungjawab,” katanya.
Antara individu yang disebut dalam kempen ini termasuklah Jai Bir Deuba, anak kepada Presiden Parti Kongres Nepal merangkap bekas Perdana Menteri Sher Bahadur Deuba; Shrinkhala Khatiwada, anak kepada bekas Menteri Kesihatan Birodh Khatiwada; serta Ganga Dahal dan Smita Dahal, masing-masing anak dan cucu bekas Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal.
Kempen #NepoKid itu turut menjadi perancang utama kepada protes besar pada 8 September di Baneshwar, berhampiran Parlimen, dengan slogan '#NoMoreCorruption' dan '#WakeUpChallenge'.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia, Charan Prasai menegaskan pendedahan melibatkan anak-anak pemimpin adalah tidak wajar.
“Walaupun keadaan rakyat sukar, tidak adil menghukum anak-anak atas kesalahan ibu bapa. Setiap individu berhak hidup bermaruah,” ujarnya.
Sebahagian anak pemimpin yang dinamakan menafikan dakwaan berkenaan, namun kecaman di media sosial terus memuncak dan membakar semangat rakyat untuk turun ke jalan raya. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

