Kena marah ponteng tuisyen, dua beradik lari rumah

BENGALURU – Hanya kerana dimarahi ponteng kelas tuisyen, dua beradik berusia 13 dan 9 tahun nekad melarikan diri dari rumah dengan menaiki bas di Ashwath Nagar, Bengaluru, India
NDTV melaporkan kejadian itu berlaku pada jam 3 petang 1 Februari lepas apabila kakak dan adik tersebut meninggalkan rumah keluarga tanpa pengetahuan ibu bapa.
Difahamkan, mereka berasa kecewa selepas dimarahi kerana enggan menghadiri kelas tambahan berkaitan pelajaran.
Kedua-duanya kemudian keluar dari kediaman di Marathahalli dan menaiki bas ke beberapa kawasan lain bagi menjauhkan diri daripada rumah.
Remaja perempuan berusia 13 tahun itu membawa kad Aadhaar miliknya dan menggunakan Skim Shakti yang menyediakan perjalanan bas percuma kepada wanita serta kanak-kanak perempuan dalam bas kerajaan di Karnataka.
Adiknya pula dilaporkan menaiki bas tanpa tiket sepanjang perjalanan tersebut.
Mereka dipercayai bergerak melalui beberapa daerah termasuk Shivamogga dan Chitradurga, sekali gus meletakkan jarak hampir 200 km antara mereka dengan rumah keluarga.
Kehilangan dua beradik itu disedari ibu bapa sebelum laporan orang hilang dibuat di sebuah balai polis bagi mendapatkan bantuan mengesan mereka.
Polis kemudian memaklumkan kes berkenaan kepada balai-balai lain di seluruh Karnataka selain menyebarkan gambar serta maklumat kedua-dua kanak-kanak itu menerusi media sosial.
Hebahan tersebut membawa kepada maklumat daripada orang awam di Chitradurga yang memaklumkan lokasi mereka selepas terlihat dua beradik berkenaan.
Bertindak atas maklumat diterima, polis berjaya mengesan kedua-dua kanak-kanak itu sebelum membawa mereka pulang ke Bengaluru.
Mereka kemudian dibawa ke balai polis dan disatukan semula dengan ibu bapa dalam keadaan selamat.
Ringkasan AI
- Dua beradik berusia 13 dan 9 tahun melarikan diri dari rumah kerana dimarahi ponteng kelas tuisyen
- Mereka menaiki bas di Ashwath Nagar, Bengaluru untuk menjauhkan diri dari rumah
- Kakak menggunakan Skim Shakti untuk perjalanan percuma manakala adiknya menaiki bas tanpa tiket
- Bergerak melalui beberapa daerah menjauhkan diri hampir 200 km dari rumah
- Ditemui selamat dan dibawa pulang ke Bengaluru selepas polis menerima maklumat dari orang awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

