Protes Gen Z runtuhkan kerajaan Nepal

KATHMANDU - Gelombang protes besar-besaran yang digerakkan anak muda (Generasi Z) akhirnya memaksa Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, meletak jawatan selepas beberapa hari rusuhan berdarah yang meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa setakat Rabu.
Rusuhan bermula selepas kerajaan bertindak menyekat lebih 20 platform media sosial minggu lalu atas alasan penyebaran berita palsu.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan rakyat, khususnya generasi muda yang sudah lama menentang rasuah dan pengangguran.
Walaupun sekatan dibuat, aktivis segera beralih ke aplikasi lain seperti TikTok, Viber, dan menggunakan VPN bagi menggerakkan ribuan rakyat turun ke jalanan.
Protes yang bermula di Kathmandu itu merebak ke seluruh negara dan menyaksikan bangunan Parlimen, Mahkamah Agung serta beberapa kediaman ahli politik dibakar.
Antara mangsa yang terkorban ialah isteri bekas Perdana Menteri, Jhala Nath Khanal, apabila beliau terbakar selepas rumahnya dibakar perusuh pada Selasa.
Seorang aktivis media sosial, Sandip, 31, berkata, rakyat sudah terlalu lama menanggung perit dengan kerajaan yang penuh skandal.
“Setiap rakyat Nepal sudah muak dengan kerajaan korup. Marah ini sudah lama terbuku, protes kali ini benar-benar spontan,” katanya.
Pada Rabu, tentera dan polis bersenjata mula mengawal ketat jalan raya di sekitar Kathmandu selepas kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung tanpa had.
Media tempatan melaporkan lebih 20 individu ditahan di pinggir ibu kota kerana cuba menimbulkan kekacauan.
Krisis politik ini turut menyebabkan empat menteri Kabinet meletak jawatan, termasuk tiga daripada parti Nepali Congress yang bergabung dengan parti komunis pimpinan Oli.
Dalam suasana penuh ketidakpastian itu, Datuk Bandar Kathmandu, Balendra Shah, 35, muncul sebagai calon popular menggantikan Oli.
Shah sebelum ini dikenali kerana usaha membersihkan jalan dan sungai Kathmandu sejak dipilih pada 2022.
Data Bank Dunia menunjukkan lebih 20 peratus rakyat Nepal hidup dalam kemiskinan, manakala kadar pengangguran belia mencecah 22 peratus.
Jurang ekonomi pula semakin ketara apabila 10 peratus golongan terkaya memperoleh lebih tiga kali ganda pendapatan berbanding 40 peratus rakyat termiskin. – Agensi
Kronologi Protes Nepal (September 2025)
4 September – Kerajaan Nepal melaksanakan larangan terhadap 26 platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, YouTube, dan X.
5–7 September – Protes bermula di Kathmandu dan beberapa bandar lain. Penunjuk perasaan menuntut pembatalan larangan serta membangkitkan isu korupsi dan nepotisme.
7 September – Pengamal media turut serta dalam protes, membantah tindakan kerajaan yang dianggap mengekang kebebasan bersuara.
8 September – Protes bertukar ganas dengan puluhan orang terkorban dan ratusan lagi cedera. Tentera dikerahkan dan perintah berkurung dilaksanakan di Kathmandu.
9 September – Kerajaan Nepal membatalkan larangan media sosial. Perdana Menteri K.P. Sharma Oli meletakkan jawatan. Kerajaan memulakan rundingan damai dengan kumpulan Generasi Z.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

