Demonstrasi Gen Z Nepal didakwa terinspirasi protes Indonesia

KATHMANDU – Gelombang protes ganas di Nepal dipercayai mendapat inspirasi daripada demonstrasi besar-besaran di Indonesia beberapa minggu lalu, menurut bekas Penasihat Ekonomi Utama Kerajaan India, Sanjeev Sanyal.
Dalam ciapan di platform X, Sanyal menyatakan bahawa protes pelajar di Asia Selatan kini mengikuti corak yang 'sangat mirip dan mencurigakan' dengan merujuk kepada kejadian serupa di Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia.
Menurutnya, golongan pelajar sering dijadikan “umpan” dalam protes politik, menimbulkan persoalan tentang sejauh mana gerakan ini benar-benar organik.
Pempengaruh dan aktivis Aalia Mauro turut menyokong pandangan itu. Beliau menekankan semangat para penunjuk perasaan di Nepal adalah sama seperti di Indonesia iaitu menentang rasuah dan menuntut kerajaan bersih serta bebas dari campur tangan luar.

“Terinspirasi oleh Indonesia, generasi muda Nepal bangkit menentang ketidakadilan dan rasuah. Protes besar-besaran meletus sehingga bangunan Parlimen terbakar, diikuti larangan media sosial oleh kerajaan. Tindakan klasik,” katanya.
Protes semakin melarat apabila penunjuk perasaan membakar kediaman bekas Perdana Menteri KP Sharma Oli di Balkot, menyerbu pejabat parti pemerintah dan bangunan politik lain.
The Himalayan Times melaporkan bahawa pejabat pusat Kongres Nepal di Sanepa turut menjadi sasaran, manakala rumah pemimpin kanan termasuk Presiden Sher Bahadur Deuba turut dirosakkan.
Sehingga Rabu, jumlah korban meningkat kepada 22 orang dan 500 cedera, berikutan pertempuran penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan.
Protes ini sebahagian besarnya diketuai aktivis Generasi Z, menzahirkan kemarahan rakyat terhadap rasuah, penapisan media sosial dan kelemahan pentadbiran kerajaan.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

