'Kenapa tak guna identiti sendiri, negara sudah merdeka 68 tahun' - Identiti

Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti) cadang Port Dickson antara nama tempat yang perlu ditukar kepada nama asal kawasan tersebut atau kepada nama baharu yang lebih mencerminkan identiti kebangsaan. Gambar hiasan, gambar kecil: Islah Wahyudi
Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti) cadang Port Dickson antara nama tempat yang perlu ditukar kepada nama asal kawasan tersebut atau kepada nama baharu yang lebih mencerminkan identiti kebangsaan. Gambar hiasan, gambar kecil: Islah Wahyudi
A
A
A

 

SEREMBAN – Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti) menggesa kerajaan dan pihak berwajib untuk menukar nama beberapa tempat di negara ini kepada nama asal kawasan tersebut atau kepada nama baharu yang lebih mencerminkan identiti kebangsaan.

Antara nama tempat yang dicadangkan untuk ditukar termasuk Port Dickson, Slim River, Georgetown, Butterworth, Yong Peng, Taiping dan Gopeng.

Pengerusi Identiti, Islah Wahyudi Zainudin berkata, langkah itu penting bagi mengangkat semula jati diri negara selain mengelakkan berlakunya krisis identiti kebangsaan.

"Krisis identiti ini berlaku di seluruh dunia dan sebagai contohnya di Australia yang mana apabila negara itu menerima kemasukan ramai migran sebagai tenaga kerja, menyebabkan banyak papan tanda berbahasa Cina di sana.

"Ia semakin berleluasa kerana negara mereka tiada bahasa kebangsaan dan perlembagaan seperti Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Namun malangnya kata Islah Wahyudi, Malaysia mempunyai perlembagaan yang jelas menyebut Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi malangnya penguatkuasaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) agak lemah.

Ujarnya disebabkan itu, sudah menjadi kebiasaan nama-nama tempat di negara ini terus menggunakan nama diberi oleh penjajah British dahulu.

"Selain itu nama Bahasa Inggeris yang kononnya dilihat moden juga turut menjadi pilihan.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa kita tak guna identiti kita sendiri sedangkan negara kita sudah merdeka daripada penjajahan Inggeris 68 tahun," katanya.

Beliau mengakui ada pihak yang kurang senang dengan kelantangannya membawa isu tersebut di media sosial, namun ia antara usahanya untuk mengangkat semula identiti negara ini.

Tegasnya, ia bukan bermakna beliau anti kepada kaum-kaum lain kerana dalam keluarganya juga mempunyai darah campuran Cina, India dan Inggeris.

"Adakah bila saya menjulang identiti Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan, itu bermakna saya anti kaum lain sedangkan itu sememangnya identiti negara kita.

"Sebab itu bagi saya, penjenamaan semula ini penting dan itulah yang dilakukan oleh Inggeris apabila jajah negara kita, mereka tukar nama-nama tempat.

"Begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Muhammad yang menukar Yathrib kepada Madinah selepas peristiwa hijrah bagi mencerminkan kedatangan Islam di sana," katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan usaha menghapuskan identiti penjajah telah bermula sejak negara merdeka, namun terhenti sekitar tahun 1980-an.

“Contohnya Jalan Masjid India yang dahulunya dinamakan Jalan Dickson sebelum ditukar kepada Jalan Tun Teja, tetapi kemudian ditukar Jalan Masjid India.

"Saya bimbang jika kita terus rasa nama ini bukannya isu besar, lama-kelamaan identiti kebangsaan negara kita akan hilang,"katanya.

Justeru itu katanya, satu sidang media akan diadakan pihaknya pada 15 September depan di Pantai Saujana Port Dickson bagi menggesa pihak berwajib menukar nama kepada Pantai Dermaga.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!