Tambahan 3,600 guru, 450 bilik darjah untuk murid Tahun Satu - Aminuddin

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan memerlukan sekurang-kurangnya tambahan 3,600 guru dan 450 bilik darjah bagi menampung 32,364 murid Tahun Satu yang dijangka mendaftar bagi sesi persekolahan 2027.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah itu melibatkan murid berusia tujuh tahun (16,346) yang akan memasuki Tahun Satu, dan enam tahun (16,018 orang) sekiranya ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka bersekolah pada usia lebih awal.

Beliau berkata, keperluan penambahan bilik darjah dan guru itu sangat penting bagi memastikan sesi pembelajaran di sekolah seluruh Negeri Sembilan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) akan meneliti keperluan sebenar 450 kelas tambahan itu dengan melihat kapasiti pelajar di sesebuah sekolah.

"Sekolah di kawasan luar bandar mungkin tidak menghadapi masalah, tetapi di bandar, terutamanya Seremban, Nilai, Sendayan dan Port Dickson mungkin mengalami isu kepadatan murid serta pelaksanaan dua sesi persekolahan yang kini dilaksanakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, isu kepadatan murid menjadi antara fokus utama yang memerlukan perhatian segera dan langkah penyelesaian diharap dilaksanakan lebih awal melalui kajian terperinci dengan penambahbaikan berterusan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kerajaan negeri berharap Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan penyediaan tambahan guru di Negeri Sembilan bagi menghadapi peningkatan kemasukan murid pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson untuk merizabkan tanah kerajaan di Port Dickson sebagai hutan simpan paya bakau dengan cadangan hutan simpan paya bakau pertama dianggarkan mempunyai keluasan kira-kira 400 hektar.

"Langkah ini akan memberikan kesan yang baik pada masa akan datang kerana kita ingin lihat kawasan hijau yang menjadi sumber makanan kepada hidupan laut dan tempat tinggal kepada sebahagian hidupan unggas akan terus terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, sebanyak 2,500 penjawat awam wanita yang bekerja di negeri ini dibenarkan pulang seawal 2 petang pada setiap Jumaat bersempena dengan Ramadan, manakala petugas lelaki akan kembali bekerja seperti biasa selepas solat Jumaat.

Sementara itu, Aminuddin meminta Indah Water Konsortium (IWK) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian, khususnya kemalangan yang mengakibatkan pengguna jalan raya terjatuh ke dalam pembentung dalam pembinaan seperti yang berlaku semalam, dapat dielakkan.

"IWK sepatutnya meletakkan tanda amaran atau isyarat yang mencukupi bagi memastikan keselamatan pengguna di jalan raya,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas tercampak ke dalam lubang pembentung air sedalam 10 meter apabila motosikal yang dinaiki dengan abangnya dipercayai terbabas di Jalan Bunga Tanjung, Tampin. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Negeri Sembilan memerlukan tambahan 3,600 guru dan 450 bilik darjah untuk 32,364 murid Tahun Satu pada 2027
  • Penambahan guru dan bilik darjah penting untuk memastikan pembelajaran berjalan lancar
  • Sekolah di bandar seperti Seremban dan Port Dickson mungkin mengalami isu kepadatan murid
  • Kerajaan negeri harap KPM pertimbangkan penyediaan tambahan guru bagi menghadapi peningkatan kemasukan murid
  • 2,500 penjawat awam wanita di negeri dibenarkan pulang awal pada Jumaat sempena Ramadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!