IKIM nafi akaun palsu guna nama penyampai radio sejak 2013

SHAH ALAM – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius kewujudan akaun Facebook palsu yang didakwa menggunakan nama penyampai radio IKIMfm, Siti Rohani Surani sejak 2013.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil berkata, akaun itu dikesan masih aktif memuat naik pelbagai hantaran berbentuk video serta gambar dengan kapsyen yang boleh mengandungi unsur fitnah sehingga menjejaskan maruah individu mahupun organisasi tertentu.
Menurutnya, perbuatan tersebut boleh menjejaskan kredibiliti radio IKIMfm serta menimbulkan salah faham, terutamanya dalam kalangan pihak pengiklan radio yang turut menjadi mangsa dalam hantaran akaun Facebook palsu itu.
"Untuk makluman, Siti Rohani Surani hanya mempunyai akaun Facebook rasmi yang menggunakan nama 'Siti Rohani Surani – Rasmi'. Sebarang kandungan yang dimuat naik di akaun Facebook palsu tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IKIMfm mahupun beliau.
"Tindakan memalsukan akaun media sosial dengan menggunakan nama penyampai IKIMfm sejak 2013 adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Justeru, beliau memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat selain turut melaporkan perkara sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak Meta Platforms, Inc. (Meta) untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai turut digesa supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu tersebut serta digalakkan membuat laporan polis sekiranya terkesan agar pihak yang tidak bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan," ujarnya lagi.
Tambah Mohamad Azam, pihaknya akan terus memantau perkara berkenaan dan mengambil langkah sewajarnya demi menjaga nama baik organisasi serta semua pihak yang terlibat.
Ringkasan AI
- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serius dengan kewujudan akaun Facebook palsu menggunakan nama penyampai IKIMfm, Siti Rohani Surani
- Akaun palsu ini aktif sejak 2013 dan memuat naik kandungan yang boleh mengandungi fitnah
- Keberadaan akaun palsu ini boleh menjejaskan kredibiliti IKIMfm dan menimbulkan salah faham bagi pengiklan
- Siti Rohani Surani sebenarnya hanya memiliki satu akaun Facebook rasmi
- Laporan polis dan aduan kepada SKMM serta Meta telah dibuat untuk tindakan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

