JKNNS serbu restoran tular basuh lebihan makanan, arah tutup 14 hari

SEREMBAN - Sebuah restoran yang menjual nasi kandar di daerah ini yang didakwa membasuh lebihan makanan untuk digunakan keesokan harinya telah diarahkan tutup selama 14 hari.
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) dalam kenyataannya memaklumkan, premis berkenaan diarahkan tutup berkuat kuasa 3 Februari hingga 17 Februari ini.
"JKNNS mengambil maklum aduan yang tular di media sosial mengenai pengendali makanan sebuah restoran yang mencuci saki baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu dari lebihan masakan yang tidak habis dijual untuk dimasak semula pada keesokan hari.

"Jabatan telah menjalankan siasatan terhadap restoran berkaitan dan pemilik telah dikenakan tindakan penguatkuasaan serta diarahkan penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pihaknya memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.
Justeru ujarnya, orang ramai terutama pemilik, pengusaha dan pengendali makanan diwajibkan untuk memastikan aspek keselamatan makanan terjaga.
"Pengabaian ke atas aspek kebersihan dan keselamatan makanan boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kejadian meloyakan itu dikongsi seorang pengguna media sosial yang mendakwa menyaksikan sendiri perbuatan berkenaan di belakang premis terbabit pada jam 12.18 tengah malam pada Selasa.
"Saya melihat seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, tauhu yang jelas merupakan lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang," katanya.
Dia memberitahu telah menegur perbuatan pekerja tersebut dan dimaklumkan yang baki makanan terbabit dicuci untuk digunakan semula pada keesokan hari.
Menurutnya, perkara itu tidak boleh diterima dan sangat membahayakan kesihatan orang awam.
"Pada mulanya, rakan pekerja lain cuba mengelirukan saya dengan jawapan yang tidak jujur, namun akhirnya tersasul dan mengaku bahawa makanan tersebut memang akan dimasak semula dan dikatakan 'tidak bahaya'.
"Saya ingin tegaskan bahawa perbuatan ini langsung tidak beretika, tidak selamat, dan sangat menjijikkan," katanya.
Ringkasan AI
- Restoran nasi kandar di Seremban diarah tutup selama 14 hari kerana membasuh lebihan makanan untuk digunakan semula
- Penutupan berkuat kuasa dari 3 hingga 17 Februari
- Aduan tular di media sosial tentang restoran yang mencuci lebihan makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu untuk dimasak semula
- Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik restoran
- Isu kebersihan dan keselamatan makanan dianggap serius dan pengabaian boleh menyebabkan keracunan makanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

