'Saya dari awal lagi tak setuju bantuan guna IC, lebih baik guna sistem PADU' - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

 

SHAH ALAM - Masalah sistem MyKasih yang mengalami gangguan teknikal ketika rakyat mahu menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter sebenarya sudah dijangka sejak awal.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kebimbangan terhadap kelemahan sistem yang bergantung kepada pengesahan kad pengenalan di terminal pembayaran sudah dibangkitkan sebelum ini, memandangkan operasi lapangan sebegitu pasti rumit dan terdedah kepada kesesakan.

“Ramai tanya kenapa saya dari awal lagi tak berapa setuju kalau bantuan guna IC (kad pengenalan) untuk tebus di kaunter.

“Saya dah suarakan kebimbangan ini lama dulu. Seperti yang dilaporkan, sistem terminal pembayaran melalui MyKasih jadi perlahan sebab lonjakan transaksi,” katanya dalam hantaran video di Facebook pada Ahad.

Pada 31 Ogos lalu, sistem MyKasih di beberapa negeri mengalami gangguan dalam memproses transaksi susulan lonjakan jumlah pembelian apabila penyaluran SARA bernilai RM100 mula dibuat.

Akibatnya, berlaku kesesakan di kaunter khas SARA susulan gangguan sistem berkenaan, menyebabkan ramai pembeli mengambil untuk meninggalkan barangan di dalam troli tanpa membuat pembayaran, manakala sebahagian lagi membayar dengan wang sendiri di kaunter pembayaran biasa.

Tambah Rafizi, cara paling berkesan ialah dengan menyalurkan bantuan secara terus melalui pemindahan tunai menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibangunkan kerajaan.

“Pandangan saya jelas, lebih baik kita bagi pindahan tunai terus ikut PADU. Ia lebih mampan, lebih senang untuk rakyat dan kurang terdedah kepada masalah teknikal. Apa yang penting, bantuan sampai,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pandan itu turut menjelaskan sepanjang berada dalam kerajaan, pandangannya berbeza dengan Kementerian Kewangan berhubung bentuk pelaksanaan bantuan.

Katanya, beliau tidak menyokong sekiranya bantuan kerajaan hanya dilihat sebagai pemberian sekali-sekala seolah-olah ‘cash is king’, sebaliknya ia perlu dibentuk berasaskan reformasi struktur ekonomi dan sistem perlindungan sosial yang kukuh.

“Kalau kita nak buat sesuatu itu mestilah bersifat reformasi struktur ekonomi. Contohnya pandangan saya mengenai RON95, sedikit sebanyak mengenai SARA ini sebenarnya, tak perlulah macam orang menunggu kemudian macam dapat hadiah daripada kerajaan.

“Bila diumumkan macam ini, memanglah orang pergi berduyun-duyun (membeli). Jadi kerajaan tak boleh nak kata, oh ramai sangat pergi. Memanglah ramai orang pergi,” katanya.

Rafizi menegaskan pendekatan yang lebih baik ialah memastikan sistem perlindungan sosial dilaksanakan secara bersasar menggunakan data lengkap dalam PADU.

“Maksudnya, kalau dengan data yang dah ada dalam PADU, semua kita tahu keluarga itu macam mana kedudukan kewangan, tanggungan dia.

"Kalau dia patut dapat RM300 sebulan, dia dapatlah masuk akaun bank tiap-tiap bulan mengikut syarat-syarat ditetapkan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!