Projek pembangunan Gunung Chamah lulus EIA

KOTA BHARU – Projek pembangunan Bandar Peranginan Tanah Tinggi Gunung Chamah, Gua Musang melalui tapisan ketat agensi berkaitan termasuk lulus laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, projek berkenaan juga tidak sesekali menafikan hak Orang Asli di kawasan pos berhampiran.
“Projek pembangunan dilaksanakan mestilah melalui beberapa agensi, lulus EIA dan sebagainya serta sudah pun mengambil kira kepentingan masyarakat setempat termasuk Orang Asli.
“Justeru, tidak timbul soal projek dijalankan secara sewenang-wenangnya sehingga menafikan hak mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas memorandum bantahan projek berkenaan yang diserahkan oleh masyarakat Orang Asli Pos Simpor kepada kerajaan negeri itu pada 28 Ogos lalu.
Menurutnya, kerajaan terbabit juga terbuka untuk mendengar aduan masyarakat Orang Asli terbabit melalui saluran betul.
Beliau dalam masa sama menolak campur tangan pihak luar yang didakwa cuba menggunakan isu masyarakat Orang Asli bagi kepentingan tertentu.
Katanya, wakil kerajaan itu juga sentiasa turun padang ke kawasan Orang Asli untuk meninjau keperluan mereka.
Sebelum ini, Jaringan Kampung Tanah Wilayah Adat Pos Simpor menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri berhubung projek pembangunan seluas 2,023.428 hektar di Gunung Chamah, Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang.
Mereka mendakwa kawasan yang diluluskan itu melibatkan tanah adat dan menjejaskan ekosistem hutan, habitat flora dan fauna selain memberi kesan jangka panjang kepada kehidupan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

