Bandar Kota Bharu 'tak pernah tidur'

KOTA BHARU – Suasana malam di bandar ini tidak pernah sunyi, malah inisiatif diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) membolehkan orang ramai bersantai bersama keluarga di beberapa lokasi popular sekitar ibu negeri Cik Siti Wan Kembang.
Tiga lokasi istimewa yang 'menghidupkan' malam di Kota Bharu antaranya Dataran Bandaraya, Taman Hijau dan Pasar Karat yang saling berdekatan, sekali gus memudahkan pelancong berjalan kaki sambil menikmati angin malam.
Menjejakkan kaki ke Dataran Bandaraya, pengunjung disajikan dengan pelbagai jenis makanan tradisi tempatan dan Thailand termasuk etok, nasi kerabu dan pelbagai jenis colek.
Lokasinya di tengah bandar memudahkan pelancong singgah dan memilih pelbagai menu dijual di gerai atau kendera saji.
Lebih menarik, pengunjung turut didendangkan dengan persembahan jalanan yang mengalunkan lagu popular semasa dan malar segar.
Pengunjung, Masniza Mansor, 44, berkata, kemudahan di Dataran Bandaraya tidak memerlukannya bergerak lebih jauh terutama untuk menjamu selera dan ‘mencuci mata’ melihat pelbagai jenis makanan.
Masniza yang juga kakitangan kerajaan di Putrajaya mengakui selesa untuk berlibur bersama rakan kerana kemeriahan suasananya selain persekitaran kemas dan teratur.

“Saya lihat ramai pengunjung terutama berkeluarga mengambil angin malam. Sangat santai apabila tempat makannya hanya berbumbung langit,” katanya.
Masniza yang pertama kali ke negeri ini bertuah kerana menginap di hotel terletak berhadapan lokasi tumpuan ramai itu.
Rakannya, Siti Nur Shahida Md Aziz, 42, mengakui suasana tenang menarik minatnya untuk melepak sambil menjamu selera.
Katanya, walaupun bukan cuti umum, kawasan itu tetap meriah dengan kehadiran ramai pengunjung.
“Ibu bapa gembira membawa anak bermain kereta mainan sambil berbual santai menghilangkan lelah selepas penat bekerja,” katanya.
Tidak jauh dari situ, Taman Hijau menanti kehadiran pelancong yang hanya perlu berjalan kaki untuk ke situ.
Lokasinya yang terletak bersebelahan Masjid Muhammadi memudahkan orang ramai menunaikan solat manakala Dataran Rehal mempunyai parkir yang luas, ditambah pula kerdipan lampu mengindahkan lagi suasana malam.
Taman Hijau menjadi salah satu lokasi orang ramai untuk bertemu kenalan, rakan atau saudara-mara.
Ketika tinjauan Sinar Harian, ada kumpulan membabitkan pemilik motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson berkumpul sambil menjamu selera.
Salah seorang pemilik motosikal Harley- Davidson, Aznan Ab Wahab berkata, setiap malam taman itu meriah dengan kehadiran orang ramai.
Katanya, suasana tenang dan tidak banyak kenderaan mungkin antara faktor lokasi itu menjadi pilihan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami selalunya akan membeli makanan dan berkumpul di sini sambil berbual, bertanya khabar selain merehatkan minda,” kata beliau.
Jelasnya, Taman Hijau juga menjadi tumpuan pada waktu pagi untuk berjoging atau beriadah.
“Kami memang selalu mengadakan aktiviti di sini kerana suasana malam yang indah selain tidak terlalu sesak dengan kenderaan seperti di tempat lain,” katanya.
Dalam pada itu, Taman Hijau juga menjadi lokasi beberapa pihak mengagihkan makanan kepada gelandangan dan fakir miskin.

Berhadapan Taman Hijau, pengunjung boleh melihat sekumpulan peniaga mempamerkan pakaian terpakai dan barangan antik pada harga murah di Pasar Karat.
Negeri ini memang sinonim sebagai lubuk pakaian terpakai atau 'bundle' membolehkan peniaga mencari rezeki tambahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
