JBPM Kelantan mohon balai baharu di Ciku, Gua Musang

Farhan Sufyan (dua,kanan) menerima penyerahan sumbangan daripada BBNGO kepada JBPM Kelantan pada Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjung, Kota Bharu pada Isnin. - FOTO:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Farhan Sufyan (dua,kanan) menerima penyerahan sumbangan daripada BBNGO kepada JBPM Kelantan pada Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjung, Kota Bharu pada Isnin. - FOTO:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memohon agar sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu dibina di Ciku, Gua Musang bagi mempercepatkan maklum balas sekiranya berlaku kecemasan, khususnya melibatkan kemalangan jalan raya di sepanjang laluan tersebut.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, ketika ini hanya BBP Gua Musang dan BBP Kuala Krai menjadi balai terdekat yang bertindak sekiranya berlaku kecemasan di laluan berkenaan.

“Jarak antara dua balai itu ke kawasan berisiko ialah sekitar 117 kilometer, menyebabkan masa respons agak lambat.

“Permohonan sudah dikemukakan tahun ini dan kami berharap ia dapat dipertimbangkan segera, sekurang-kurangnya tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjung, di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kawasan Galas dan Ciku merupakan antara laluan utama yang menghubungkan Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan.

Ujarnya, ketiadaan pasukan bomba sukarela di kawasan tersebut turut menyukarkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Cadangan ini juga dibuat susulan insiden kemalangan bas yang berlaku di Jalan Jeli–Gerik, baru-baru ini,” kata beliau.

Farhan Sufyan memberitahu, ketika ini terdapat 22 BBP dan 20 pasukan bomba sukarela di seluruh Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!