Global Sumud Flotilla sahkan serangan kedua, anggap usaha terancang gagalkan misi ke Gaza

Kapal Family Boat (kanan), sebahagian daripada Global Sumud Flotilla, berlabuh di Sidi Bou Said, Tunisia pada 9 September 2025 selepas didakwa terkena serangan dron. Foto AFP
Kapal Family Boat (kanan), sebahagian daripada Global Sumud Flotilla, berlabuh di Sidi Bou Said, Tunisia pada 9 September 2025 selepas didakwa terkena serangan dron. Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Global Sumud Flotilla (GSF) menyifatkan serangan dron ke atas kapal mereka buat kali kedua dalam tempoh dua hari sebagai usaha terancang untuk menggagalkan misi kemanusiaan menuju Gaza.

Dalam kenyataan pada Rabu, GSF mengesahkan kapal Alma yang berlayar di bawah bendera Britain diserang ketika berlabuh di perairan Tunisia.

Kapal tersebut mengalami kebakaran di dek atas akibat serangan, namun api berjaya dipadamkan dan semua penumpang serta anak kapal dilaporkan selamat.

GSF memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan diumumkan sebaik sahaja diperoleh.

Insiden ini berlaku sehari selepas sebuah lagi kapal flotilla dikenali sebagai “Family Boat” diserang dalam keadaan hampir sama di lokasi berdekatan.

“Serangan berulang ini adalah usaha terancang untuk mengalih perhatian, mengganggu serta menggagalkan misi flotilla,” tegas kenyataan itu.

Menurut GSF, kedua-dua serangan berlaku ketika serangan Israel terhadap penduduk Gaza semakin memuncak.

Walaupun berdepan ancaman, GSF menegaskan mereka tidak akan berganjak daripada matlamat asal.

“Pelayaran aman untuk memecahkan kepungan haram Israel ke atas Gaza dan menunjukkan solidariti padu kepada rakyatnya akan diteruskan dengan penuh tekad,” kata mereka.

Artikel Berkaitan:

GSF turut menyeru orang ramai mengikuti saluran rasmi mereka bagi mendapatkan perkembangan sahih mengenai flotilla.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!