Global Sumud Flotilla: Kapal dinaiki sukarelawan Malaysia pula diserang

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kapal Alma dinaiki sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla pula dilaporkan menjadi sasaran serangan dron ketika berlabuh di perairan Tunisia.

Perkara itu dimaklumkan salah seorang sukarelawan, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang juga Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) menerusi hantaran di akaun Thread beliau pada pagi Rabu.

“Terkini! Bot saya, Iylia dan Sul pula menjadi sasaran dron malam ini (waktu tempatan) ketika berlabuh di Tunisia.

"Alhamdulillah tiada kecederaan dilaporkan,” tulis beliau ringkas.

Difahamkan kejadian kira-kira 11.21 malam itu menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada kapal terbabit, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan dikenali sebagai Cosme dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook Media Alkhair Malaysia memberitahu kejadian berlaku ketika dia memulakan syif malam sebelum terdengar bunyi pelik.

“Dron itu kemudian jatuh di atas bahagian atas dek kapal dengan bahan mudah terbakar. Keadaan bertukar kecoh dan kami segera padamkan api serta semua orang selamat,” katanya.

Insiden itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan delegasi Malaysia yang menyertai misi flotilla berkenaan.

Terdahulu, salah satu kapal utama flotilla dikenali sebagai “mother boat” yang membawa ahli jawatankuasa pemandu misi, turut menjadi sasaran serangan dron di perairan Tunisia.

Artikel Berkaitan:

Serangan itu menyebabkan kerosakan pada dek utama dan ruang simpanan, namun kesemua penumpang dilaporkan selamat.

Serangan berterusan itu membayangkan tahap ancaman yang sedang dihadapi sukarelawan antarabangsa dalam misi kemanusiaan menuju Gaza.

Meskipun begitu, semua sukarelawan termasuk dari Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tetap komited untuk meneruskan perjalanan membawa mesej solidariti buat Palestin.

 

Ringkasan AI

  • Kapal Alma dengan sukarelawan Malaysia menjadi sasaran serangan dron di Tunisia
  • Tidak ada kecederaan dari serangan tersebut tapi kapal mengalami kebakaran dan kerosakan
  • Kejadian itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan delegasi Malaysia
  • Serangan serupa terhadap kapal utama flotilla juga berlaku sebelum ini di perairan Tunisia
  • Sukarelawan termasuk Malaysia tetap komited untuk meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!