Saya benar-benar faham makna lapar di Palestin- PU Rahmat

PU Rahmat
PU Rahmat
A
A
A

PUTRAJAYA - Tujuh hari di laut dengan makanan serba ringkas sudah cukup membuatkan sukarelawan, Rahmat Ikhsan benar-benar menghayati makna lapar yang ditanggung rakyat Palestin.

Pendakwah muda itu yang kini berada di Tunisia bersama delegasi Sumud Nusantara berkata, sepanjang tempoh pelayaran dari Sepanyol, bekalan makanan yang ada hanyalah hidangan vegetarian ringkas tanpa nasi, daging, kambing atau ayam.

Katanya, keadaan itu membuatkan beliau benar-benar memahami perasaan penduduk Gaza yang berdepan kelaparan berpanjangan.

“Puasa kita selalu kaitkan dengan memahami lapar, tetapi kita tahu bila waktu berbuka, makanan ada. Di laut, walaupun tahu akan makan, makanan yang boleh menghilangkan lapar tidak wujud. Itu membuatkan saya benar-benar faham makna lapar di Palestin,” ujarnya dalam rakaman video yang dimuat naik di laman rasmi delegasi itu pada Rabu.

Beliau mengakui pengalaman itu juga membuatkan dirinya lebih menghargai nikmat selepas turun dari kapal.

“Saya dapat mandi, makan makanan enak, rasa bebas daripada kepungan kapal yang kecil itu. Saya mahu juga perkara itu dirasai oleh orang-orang Gaza,” jelasnya.

Mengulas perjalanan dari Sepanyol ke Tunisia yang mengambil masa lebih lama daripada dijadualkan, Rahmat atau dikenali sebagai PU Rahmat berkata kelewatan dua hari itu memberi pengajaran tentang ketentuan Ilahi.

“Laut ini sangat tidak boleh diduga. Di darat mungkin kita boleh merancang, tetapi di laut kita hanya menyerahkan kepada ketentuan ALLAH SWT. Kita merancang dengan cita-cita, tetapi ALLAH SWT merancang dengan cinta,” katanya.

PU Rahmat menegaskan, tiga perkara yang tidak akan dilupakan sepanjang perjalanan ini ialah makna lapar, nikmat kebebasan selepas keluar daripada kapal, dan ketidaktentuan laut yang mengajar tentang tawakal.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta rakyat Malaysia mendoakan baki perjalanan selama 10 hingga 12 hari lagi agar misi flotila benar-benar sampai ke Gaza.

“Doakan kami sampai. Banyak perkara yang mahu diluahkan, tetapi cukuplah saya kongsikan tiga perkara ini yang akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya.

Delegasi Sumud Nusantara bersama Global Sumud Flotilla sebelum ini memulakan pelayaran dari Sepanyol sebelum berlabuh di Tunisia dan kini meneruskan misi kemanusiaan dengan tempoh perjalanan dijangka mengambil masa hampir dua minggu.

Ringkasan AI

  • Rahmat Ikhsan mengalami kesukaran mendapatkan makanan seimbang sepanjang tujuh hari di laut
  • Pengalaman tersebut membuatnya memahami keadaan kelaparan yang dihadapi oleh penduduk Gaza
  • Beliau menghargai nikmat kebebasan dan kesenangan selepas turun dari kapal
  • Perjalanan dari Sepanyol ke Tunisia mengajarnya tentang ketidaktentuan laut dan pentingnya tawakal
  • Rahmat meminta doa dari rakyat Malaysia untuk kelancaran misi kemanusiaan ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!