Malaysia kekal destinasi pelancongan hujung tahun utama penduduk Singapura - Visa

SINGAPURA - Penduduk Singapura terus melakukan perjalanan secara meluas di rantau ini dengan Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi paling popular pada Disember, menurut data syarikat teknologi pembayaran Visa.
Dalam satu kenyataan, Visa berkata, penduduk Singapura mencatatkan peningkatan perbelanjaan kad secara bersemuka sebanyak 18 peratus tahun ke tahun (y-o-y) di Malaysia sepanjang musim cuti akhir tahun, didorong oleh peningkatan mendadak dalam perbelanjaan berkaitan perjalanan.
"Kuala Lumpur dan Johor Bahru masing-masing merekodkan pertumbuhan perbelanjaan y-o-y sebanyak 31 peratus dan 17 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukan kedua-dua bandar raya itu sebagai destinasi utama bagi penduduk Singapura,” menurut kenyataan itu.
Menurut Visa, Jepun merupakan destinasi kedua paling popular bagi penduduk Singapura yang melancong pada hujung tahun, walaupun pertumbuhan perbelanjaan tahun ke tahun tidak begitu ketara dengan hanya mencecah lima peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, syarikat berkenaan memaklumkan Thailand dan Korea Selatan kekal sebagai destinasi pelancongan utama bagi penduduk Singapura, masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Data Visa turut mendedahkan pertumbuhan perbelanjaan yang kukuh di kawasan tumpuan baharu yang semakin popular seperti Chiang Mai dan Chonburi di Thailand, serta Busan dan Jeju di Korea Selatan.
Visa berkata, populariti China terus meningkat sebagai koridor pelancongan bagi penduduk Singapura, melonjak lapan anak tangga ke kedudukan kelima tahun ini, dengan perbelanjaan penduduk Singapura di China meningkat hampir 80 peratus tahun ke tahun, susulan trend serupa pada tahun lalu yang mencatat pertumbuhan 86 peratus.
"Prestasi kukuh ini didorong oleh perbelanjaan yang tinggi dalam penginapan, barangan runcit serta gedung serbaneka,” menurut Visa. - Bernama
Ringkasan AI
- Penduduk Singapura terus melakukan perjalanan secara meluas dengan Malaysia sebagai destinasi paling popular pada Disember
- Penduduk Singapura mencatatkan peningkatan perbelanjaan kad secara bersemuka sebanyak 18 peratus tahun ke tahun di Malaysia dalam musim cuti
- Kuala Lumpur dan Johor Bahru menjadi destinasi utama bagi penduduk Singapura dengan pertumbuhan perbelanjaan masing-masing sebanyak 31 peratus dan 17 peratus
- Jepun dan Thailand masing-masing merupakan destinasi kedua dan ketiga paling popular bagi penduduk Singapura, manakala Korea Selatan di tempat keempat
- China melonjak lapan anak tangga ke kedudukan kelima sebagai koridor pelancongan bagi penduduk Singapura dengan perbelanjaan meningkat hampir 80 peratus tahun ke tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
